PPM Rampas 960Kg Gula Yang Cuba Diseludup
nabalunews

18 Mac 2025
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 960 kilogram gula putih tanpa permit dalam operasi di perairan Laut Sungai Pukol, di sini, semalam.
Dalam operasi Op Taring Gelora / OCP Selatan jam 5.46 petang itu, semua barangan bersubsidi berkenaan dibawa menggunakan bot laju dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, Botronda PSC 10 berjaya menahan sebuah bot laju yang dikendalikan seorang lelaki berusia 28 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 40 guni gula putih berjenama Prai berada di dalam bot berkenaan.
“Suspek gagal mengemukakan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH).
“Pasukan operasi terus menahan suspek dan merampas semua barangan bersubsidi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, rampasan melibatkan sebuah bot laju, enjin sangkut Yamaha 200HP, serta gula putih dengan nilai keseluruhan sebanyak RM97,688.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Nazri berkata, pasukan PPM akan terus komited dalam usaha membanteras penyeludupan bahan bersubsidi demi memastikan sumber negara tidak disalahgunakan.
“PPM Tawau terus komited membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negara,” katanya.
Comments