PPM Tahan 15 Warga Asing
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

21 April 2025
KOTA KINABALU: Seramai 15 individu warga asing ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen yang tidak sah dalam dua operasi berasingan di Kudat, di sini, Sabtu lalu.
Semua warga asing itu ditahan PPM Kudat menerusi operasi Op Taring Gelora yang dilaksanakan di sekitar Laut Mangsee Reef dan Jeti Merak Hati.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, ketika menjalankan operasi berkenaan, pasukan PPM mengesan sebuah bot di sekitar laut Mangsee Reef.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang juragan ditahan kerana disyaki memiliki dokumen yang tidak sah.
"Dalam operasi kedua di Jeti Merak Hati, seramai 14 pekerja warga asing ditahan kerana memiliki dokumen yang tidak sah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua warga asing diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan lanjut.
"Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Sementara itu, beliau berkata ketika menjalankan Op Taring Landai, PPM Lahad Datu menahan sebuah kenderaan jenis Isuzu yang dipercayai cuba untuk menyeludup minyak bersubsidi, semalam.
"Pemandu ditahan dan semua barang kes telah dirampas dengan nilai anggaran keseluruhan iaitu RM122,469.96.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada berleluasa," katanya.
Comments