PRK BATU SAPI: TENTERA DARAT SIAP SIAGA JIKA TERDAPAT KAWASAN DIKENAKAN PKPD

12 Nov 2020
SANDAKAN: Tentera Darat bersiap siaga untuk digerakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi sekiranya terdapat kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan Parlimen itu sepanjang PRK.
Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata bilangan anggota yang akan digerakkan pada PRK itu bergantung kepada situasi semasa.
“Sekiranya kita tidak mampu dari segi kekuatan sedia ada di Sandakan, kita akan merancang untuk mengatur gerak anggota dari Tawau mahupun dari Kota Kinabalu sekiranya perlu.
“Kita sentiasa meletakkan anggota di tahap kesiagaan yang tinggi pada setiap masa dan diatur gerak mengikut keperluan yang dirancang oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Program Perumahan Rakyat Taman Mesra di sini hari ini.
Muhammad Hafizuddeain diminta mengulas sama ada akan terdapat pertambahan anggota pada PRK Batu Sapi susulan satu kluster COVID-19 baharu dikenal pasti di Batu Sapi semalam iaitu Kluster Karamunting, setelah 21 kes dikesan positif virus berkenaan.
PRK Batu Sapi diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen itu apabila penyandangnya Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan paru-paru pada 2 Okt lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Nov ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi sementara hari pengundian awal akan diadakan pada 1 Dis, manakala hari pengundian pada 5 Dis. - Bernama
Comments