PRN Johor: Amanah, DAP hormati keputusan PKR untuk guna logo sendiri
28 Januari 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menggunakan logo partinya sendiri dan bukan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melemahkan kerjasama antara parti itu dan parti komponen lain di bawah khemah besar PH.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad bin Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng berkata, walaupun berbeza pendapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kedua-dua parti itu menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Manakala, Amanah dan DAP akan terus menggunakan logo PH sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.
“Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama. Kedua-dua Amanah dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah.”
Mohamad Sabu dan Guan Eng berkata demikian menerusi satu kenyataan bersama, semalam.
PH telah membuat keputusan untuk menggunakan logo bersama pada April 2018 setelah berkali-kali mengadakan rundingan. Setelah mencapai kata putus menggunakan satu logo bersama, logo PKR telah dipilih untuk digunakan bagi pilihan raya umum ke-14 kerana pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Pendaftar Pertubuhan enggan mendaftarkan PH pada masa itu.
“Satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa PH serius untuk menjadi kerajaan, dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya. Pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka.
“Amanah dan DAP akan terus mengekalkan PH. Kita masih ada tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneruskan usaha memenuhi keperluan rakyat.
“Atas sebab inilah, Amanah dan DAP akan tetap menggunakan logo Pakatan Harapan bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan,” kata kenyataan itu.
Katanya lagi, sepanjang 65 tahun merdeka, kerajaan yang memerintah sentiasa terdiri daripada gabungan parti-parti politik dan tidak pernah ada sebuah parti yang menang bersendirian atau berhak memerintah sendiri.
Disebabkan itu, UMNO sentiasa bersama dengan BN dan terus menggunakan logo BN walaupun ia merupakan parti yang dominan di negara ini sejak beberapa dekad lalu.
“Apabila memenangi pilihan raya umum 2018, PH akhirnya didaftarkan dengan logonya sendiri. Malah untuk kembali ke arena politik, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan logo PH untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018.
“Pengecualian menggunakan logo ini hanya diberikan kepada parti-parti komponen PH di Sabah dan Sarawak atas dasar status istimewa serta kuasa autonomi wilayah-wilayah Borneo ini.
“Kita akui apabila menjadi kerajaan pada 2018 hingga Februari 2020, pentadbiran PH mempunyai beberapa kelemahan. Namun ada banyak kejayaannya walaupun cuba dinafikan serta diputarbelitkan oleh pihak lawan,” ujarnya.
Antara yang usaha yang dikecapi kerajaan PH ialah kejayaan melawan rasuah yang dibuktikan melalui penarafan oleh Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.
Indeks Tahun 2019 yang meletakkan Malaysia di tangga ke 51 (53 mata) sedangkan indeks yang sama bagi tahun 2021 melihat Malaysia menjunam ke tangga ke 62 (48 mata) di bawah pemerintahan BN yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Jika PH diberi mandat penuh untuk mentadbir selama lima tahun, dan jika ia tidak dikhianati beberapa Ahli Parlimen yang tamak kuasa melalui Langkah Sheraton selepas hanya 22 bulan menjadi kerajaan, sudah tentu lebih banyak lagi kejayaan dan kemajuan untuk rakyat yang boleh dicapai.”
Antara pemimpin kanan yang berada dalam Kabinet PH ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Saifuddin Nasution daripada PKR; Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ketika itu mewakili Bersatu; dan tiga wakil Parti Warisan Sabah.
“Antara lain, perkongsian kuasa ini berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama, iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Dalam PRN mengejut Johor ini, semua parti pembangkang akan menghadapi cabaran sengit untuk melawan UMNO-BN dan PN. Dengan menggunakan satu logo bersama, ia akan memudahkan pengundi melihat Amanah, DAP, PKR and UPKO sebagai satu gabungan PH yang padu dalam kalangan pelbagai parti politik baharu dan lama yang masuk ke gelanggang pilihan raya kali ini.
“Walau apapun keputusan PKR, kedua-dua Amanah dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk MUDA untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan PH dalam pilihan raya Johor."
Comentarios