top of page
nabalunews

PRN17 Sabah boleh diadakan bila-bila masa - Hajiji


10 November 2024


KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) boleh diadakan pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga penggal pemerintahan kerajaan negeri Sabah berakhir antara November ini hingga Oktober tahun depan.


Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika mengulas tempoh kerajaan negeri pimpinannya sekarang yang akan berakhir pada Oktober tahun depan.


"Kita mempunyai tempoh sehingga Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17.


"Maknanya, kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat.


"Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk 'Memperkasa Parti, Memakmurkan Negeri' pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.


Selain pemimpin Gagasan Rakyat, perhimpunan itu turut dihadiri pemimpin rakan partinya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.


Antara yang hadir ialah Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.


PH Sabah pula diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Christina Liew, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.


Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS berkata, kerajaan GRS-PH-Plus pimpinannya memerlukan mandat baharu daripada rakyat dan sokongan yang signifikan bagi menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun lagi.


"Tempoh itu amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


"Yakin dan percayalah, PRN17 adalah peluang terbaik untuk kita memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini.


"Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan GRS kukuh dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani," katanya.

תגובות


bottom of page