Program Berkhatan Prihatin dan Derma Darah Tanjung Papat
SANDAKAN: Seramai 100 kanak-kanak dari Kampung Sim-Sim, di sini, menyertai Majlis Berkhatan beramai-ramai sempena cuti persekolahan.
Majlis anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Papat itu diadakan di Masjid Daerah Sandakan dan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung.
Frankie berkata, amalan sunnah yang dianjurkan itu sudah semestinya menjadi kewajipan umat Islam.
Namun katanya, disebalik penganjuran program berkenaan, ia turut memupuk kesedaran akan pentingnya kebersihan, kesihatan dan tanggungjawab.
“Saya merakam penghargaan kepada semua yang menjayakan program itu termasuk pengisian kempen derma darah untuk membantu pesakit memerlukan.
“Majlis berkhatan ini turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Sandakan, Jawatankuasa Dakwah Daerah Sandakan, Jawatankuasa Masjid Daerah Sandakan, Persatuan Silat Sandakan (PSS) Pesaka dan Persatuan Usahawan Perniagaan Sandakan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, semalam.
Turut hadir, Timbalan Presiden II Majlis Perbandaran Sandakan, Farizal Setoh; Pengarah Hospital Duchess Of Kent Sandakan, Dr. Mohd Fahmie Othman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Mohd Faried Ismail.
Sementara itu, Dr. Mohd Fahmie ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh penganjuran program yang membawa manfaat sebaiknya.
Bagaimanapun Katanya, penganjur dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada pihak Jabatan Kesihatan dan pakar untuk memastikannya berjalan lancar.
Comments