27 peserta di Kadamaian sertai Program Bina Kerjaya
9 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Seramai 27 orang di Kadamaian telah menyertai Program Bina Kerjaya bagi Bidang 'Entrepreneurship for GIG Workers' yang diadakan di Mini Dewan Pejabat ADUN Kadamaian Skyblue Piasau, baru-baru ini.
Program itu, yang dianjurkan oleh Gain For Life Academy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menjalankan program peningkatan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak 2005 dan merupakan penyedia latihan di bawah PERKESO Kementerian Sumber Manusia.
Program ini merupakan suatu inisiatif Kerajaan di bawah Belanjawan 2023 yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertujuan untuk memperkasakan pasaran buruh bagi meningkatkan potensi peserta untuk memperoleh peluang pekerjaan menerusi program Latihan Microcredentials/Latihan Profesional yang diiktiraf.
Menurut Ketua tenaga pengajar, Kingston Jeyeraj, program itu bertujuan untuk membekalkan ilmu dan kemahiran keusahawanan kepada peserta berkenaan bidang keusahawanan pekerjaan GIG tidak formal (peniaga gerai, penghantar makanan), dan sekaligus memajukan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dan berdaya saing.
"Program ini adalah fasa pertama bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagaan.
"Kami akan mengajar mereka mengenai kajian pasaran, pengenalan produk, strategi pemasaran, pembinaan perniagaan, pengurusan kewangan, penyediaan kertas kerja dan proses permohonan lesen perniagaan," katanya.
Beliau berkata program itu akan berlangsung selama 10 hari, dengan satu sesi setiap minggu, dan dijangka tamat pada Januari 2024.
Dalam pada itu, para peserta program itu juga akan mendapat elaun, makanan dan minuman, serta sijil tamat latihan yang dikeluarkan oleh Awards for Training and Higher Education (ATHE) - UK.
Tambah beliau, program ini mempunyai tiga fasa, di mana fasa kedua dan ketiga akan diadakan pada tahun 2024.
Comments