Program buka puasa bersama gerakan koperasi platform sampaikan maklumat inisiatif KUSKOP: Ewon

28 Mac 2025
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program berbuka puasa bersama gerakan koperasi adalah platform terbaik menyampaikan maklumat dan inisiatif-inisistif berkaitan kementeriannya.
Sehubungan itu beliau memuji usaha Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dan ANGKASA, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang telah melaksanakan program-program berbuka puasa bersama gerakan koperasi sepanjang bulan Ramadan.
“Saya hargai inisiatif SKM, IKMA dan ANGKASA dalam merakyatkan gerakan koperasi negara dengan pengisian taklimat-taklimat serta bantuan kepada golongan asnaf sepanjang bulan Ramadan.

“Program ini antaranya bertujuan memasyarakatkan gerakan koperasi di mana agensi-agensi seperti SKM dan IKMa telah mengadakan ceramah yang bersesuaian supaya kesedaran berkoperasi ini dapat digerakkan di peringkat akar umbi termasuk di kampung ini.
“Saya berharap gerakan koperasi dan keusahawanan di Tamparuli juga akan terus berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama masyarakat dan gerakan koperasi Tamparuli di Kg Kiwoi, Tamparuli, di sini, semalam.
Ewon berkata, program seumpam itu turut diadakan di pelbagai tempat termasuk Ranau, Kudat dan Sepanggar.

“Ini antara pendekatan kita sepanjang bulan Ramadan untuk memasyarakatkan koperasi. Selain mengadakan taklimat kita juga beramah mesra berbuka puasa dengan masyarakat,” katanya.
Beliau turut kongsikan dasar dan pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan dan koperasi di bawah KUSKOP serta kisah kejayaan koperasi.
Terdahulu itu, Ewon bersama Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meluangkan masa melawat masjid Kg Kiwoi dan diberi taklimat mengenai keperluan tambahan di masjid itu, iaitu tempat mengurus jenazah yang memerlukan peruntukan.
“Justeru saya setuju meluluskan peruntukan RM18,000 daripada peruntukan menteri saya untuk tujuan itu,” katanya.
Commentaires