top of page

Program Gotong-Royong Kampung Kiau Nuluh

nabalunews


28 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Nuluh menerima sumbangan dana sokongan untuk melaksanakan program gotong-royong di kampung berkenaan.


Program yang penting untuk komuniti kampung berkenaan disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Sumbangan disampaikan kakitangan Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian, Shainim Epin, kepada Pengerusi JKKK Kampung Kiau Nuluh, Rayner Yukun.


Menurut Rayner, dana berkenaan akan digunakan untuk menampung kos penganjuran program gotong-royong selama dua hari yang dijadualkan berlangsung pada 29 hingga 30 Januari depan.


Katanya, ia bertujuan untuk mencantas dan menebang pokok-pokok yang menghalang talian elektrik di kawasan kampung dengan kerjasama daripada Sabah Electricity.


“Kerja-kerja mencantas dan memotong pokok ini amat penting untuk memastikan tiada gangguan bekalan elektrik akibat pokok tumbang pada masa hadapan.


“Masalah seperti ini pernah berlaku sebelum ini dan langkah awal perlu diambil untuk mengelakkannya berulang,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Rayner berkata, program itu bukan saja untuk keselamatan penduduk, tetapi juga memudahkan penyelenggaraan talian elektrik dan sekaligus memastikan bekalan elektrik kekal stabil untuk komuniti Kampung Kiau Nuluh.


Sehubungan itu, Rayner merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan program berkenaan.


Katanya, sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan ADUN Kadamaian terhadap keperluan rakyat di kawasan ini.


“Bantuan ini sangat bermakna kepada penduduk kampung, terutama dalam memastikan perancangan gotong-royong ini dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya.


“Kami amat berterima kasih atas perhatian yang diberikan oleh Ewon kepada isu ini,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page