Program homestay pengakap antarabangsa kukuhkan hubungan Malaysia-Korea - Ewon
12 Januari 2025
KOTA BELUD: Program Homestay Homes sempena aktiviti pertukaran pelajar antarabangsa melibatkan Pengakap Korea Scout Southern Gyeonggi Federation ke daerah Kadamaian telah berlangsung di Kampung Tambatuon, Kota Belud hari ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, yang mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Program ini dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah dengan kerjasama erat penduduk Kampung Tambatuon.
Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Carlye, Ewon merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia atas usaha murni mereka menganjurkan program pertukaran ini. Beliau menegaskan kejayaan program ini membuktikan komitmen pengakap dalam memupuk semangat kerjasama serta keharmonian antara negara.
"Kedatangan delegasi dari Korea Scout Southern Gyeonggi Federation ke Sabah, khususnya Kampung Tambatuon yang indah ini, memperkukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara. Ia membuka peluang kepada generasi muda untuk saling bertukar pandangan, pengalaman, dan budaya," katanya.
Beliau turut menekankan impak besar program ini dalam memupuk nilai perpaduan sejagat, dengan harapan agar peserta dapat belajar dan mencipta kenangan bermakna sepanjang hayat mereka.
Ewon turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada penduduk Kampung Tambatuon atas sambutan mesra mereka terhadap program ini.
"Kampung Tambatuon, dengan keindahan alam semula jadinya dan keunikan budayanya, adalah lokasi yang sangat sesuai untuk program pertukaran ini. Sokongan komuniti tempatan menjadi faktor penting yang menjadikan program ini lebih bermakna," tambahnya.
Program ini tidak hanya memberikan pengalaman kepengakapan yang bermakna kepada peserta, tetapi juga mendedahkan mereka kepada budaya dan tradisi masyarakat tempatan. Kejayaan program ini mencerminkan semangat perpaduan yang amat diperlukan dalam dunia yang semakin mencabar.
Turut hadir dalam program ini Timbalan Ketua 11 Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Makrin Hj.Sudi,Ketua Pesuruhjaya Kawasan Pantai Barat Utara, Robby Estrada@Mohd Faizal Sodomon, serta Mirza Affendy Asah, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Pantai Barat Utara merangkap Pesuruhjaya Daerah Kadamaian.
Commenti