top of page

Program INSKEN kekal relevan, jualan usahawan RM101 juta sejak diperkenalkan

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read



16 April 2025


CYBERJAYA: Usaha berterusan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dalam menyediakan latihan dan bimbingan keusahawanan terus membuahkan hasil memberangsangkan, apabila program-programnya telah menyumbang RM101 Juta kepada ekonomi negara sejak mula diperkenalkan pada 2017.


Menurut kenyataan media, INSKEN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), telah menyumbang kepada penciptaan 1,134 pekerjaan dan penukaran status perniagaan 130 usahawan daripada mikro kepada kecil.


Manakala pada tahun 2024 sahaja, program bimbingan INSKEN telah mencatat RM23 juta peningkatan hasil jualan melalui pelaksanaan 24 program bimbingan yang terdiri daripada 19 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan 5 Program Bimbingan Keuntungan Menu. Selain itu, tambahan 468 pekerjaan baharu dan 60 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil turut direkodkan pada tahun lalu.


“Empat Program Bimbingan Usahawan Permulaan (INSKEN Start-Up Coaching) turut diadakan di sepanjang tahun 2024 bagi membantu usahawan merancang dan menyusun strategi pemasaran dengan lebih efisien,” menurut kenyataan tersebut.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan program latihan dan bimbingan INSKEN bukan sahaja mengikuti keperluan industri, malah bertepatan dengan tonggak dasar Membangun Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.


“Usaha INSKEN adalah mengintegrasikan modul dan kerangka program serta latihan mengikut nilai Madani tersebut dan sekaligus dapat membantu kelangsungan perniagaan yang memberi impak kepada kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia khususnya golongan usahawan,” katanya.


Antara peserta cemerlang tahun lalu bagi Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Jualan Pasaraya ialah Puan Carolyn Pawa Lawai dari Sarawak yang mengusahakan produk kraf seperti tekstil batik. Beliau berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak 244 peratus melalui bimbingan daripada Industry Coach.


“Beliau telah membuat pengiraan untung rugi, merekod stok, mengaplikasikan penggunaan invois, delivery order serta mempelbagaikan produk kraf yang dijual,” jelas kenyataan itu lagi.


Selain program bimbingan, INSKEN turut melaksanakan program latihan jangka masa pendek yang memberi fokus kepada jualan dan pemasaran, kewangan, operasi serta pengurusan perniagaan. Pada tahun lalu, 207 program latihan telah dianjurkan yang memanfaatkan 6,437 usahawan di seluruh Malaysia. Antara program latihan yang dilaksanakan adalah Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAPPS), Kursus Asas Keusahawanan (KAK), Kursus Asas Industri dan banyak lagi.


Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Dr. Maizura binti Mohamad berkata, hala tuju 2025 jelas menunjukkan INSKEN terus komited dan proaktif dalam membantu usahawan mikro dan informal melalui pelaksanaan program latihan serta bimbingan berasaskan industri secara berterusan.


“Terdapat program baharu yang akan dijalankan pada tahun ini iaitu Program INSKEN Mini Coaching berfokus kepada empat topik: Program Bimbingan Pengurusan Pekerja, Program Bimbingan Pengurusan Kewangan, Program Bimbingan Pemasaran dan Program Bimbingan Pembangunan Produk,” katanya.


Tahun ini INSKEN menyasarkan sehingga 25,000 usahawan seluruh Malaysia akan mendapat manfaat melalui pelaksanaan program latihan dan bimbingan. Justeru itu, INSKEN mengalu-alukan lebih banyak rakan kolaborasi untuk berganding bahu bersama-sama membantu usahawan di Malaysia.


Tahun lalu, INSKEN telah bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Maybank Islamic, Public Islamic dan banyak lagi melalui program seperti KAK dan KAPPS.


Maklumat lanjut mengenai kesemua program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran INSKEN boleh didapati melalui laman web rasmi mereka di www.insken.gov.my.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page