top of page
nabalunews

Program Jiwa Madani pastikan maklumat tepat daripada kerajaan disampaikan secara langsung

14 Oktober 2024


KOTA BELUD: Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat DUN Kadamaian, anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) daerah Kota Belud bertujuan untuk menyampaikan maklumat tepat daripada kerajaan dan agensi secara langsung, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.


Program ini dianjurkan dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Piasau, Kampung Nahaba, dan Kampung Melangkap Baru dan telah berlangsung dengan jayanya, Sabtu lalu.


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Dalam ucapannya, Saikom menyampaikan salam kemaafan daripada YB Datuk Ewon atas ketidakhadirannya, namun beliau berjanji akan mencari peluang lain untuk bersama komuniti semasa perasmian Tamu Desa Sosondoton View Piasau apabila siap sepenuhnya kelak.


Saikom berkata projek pembinaan Tamu Desa adalah inisiatif YB Datuk Ewon melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan memperkasa usahawan tempatan dengan menyediakan kemudahan tapak berniaga yang lebih selesa dan strategik di kawasan kampung di seluruh negara.


Saikom turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang telah mengambil bahagian dalam pameran serta memberikan taklimat.


Beliau juga memuji usaha pihak kepimpinan Kampung Piasau yang menganjurkan aktiviti-aktiviti menarik seperti pertandingan memancing dan karaoke secara percuma, yang telah menyemarakkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.


Turut hadir di majlis ini, Pegawai Penerangan Malaysia Daerah Kota Belud, Rosnaniwati Rasidi, selaku penganjur utama program, Jinus Gidop, Ketua Komuniti MADANI Kampung Piasau; Liasin Gisik, Ketua Komuniti MADANI Kampung Nahaba; Handee Cole Demis, Ketua Komuniti MADANI Kampung Melangkap; dan Jolyhame Saran, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau.


Majlis penutupan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dan hadiah berupa hamper kepada para pemenang pertandingan.

Comments


bottom of page