top of page
nabalunews

Program Jualan Rahmah Madani Bergerak beri manfaat kepada penduduk Kampung Sim-Sim, Sandakan



7 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Lebih 1,000 pengunjung hadir dan mendapat manfaat daripada jualan barangan keperluan asas pada harga yang amat berpatutan dalam Program Jualan Rahmah Madani Bergerak yang dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan di Gelanggang Futsal Kampung Sim-Sim, Sandakan, pada Ahad.


ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung bersama pasukan Pusat Khidmat ADUN itu juga hadir ke lokasi bagi meninjau pelaksanaan program serta beramah mesra dengan penduduk tempatan yang hadir.


Frankie berkata program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kerajaan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini.


Pihaknya juga bercadang untuk mengadakan Program Jualan Rahmah Madani Bergerak sebulan sekali di kawasan Kampung Sim-Sim bagi memastikan lebih ramai penduduk memperoleh manfaat daripada inisiatif ini selain kerjasama berkala dengan pihak KPDN Sandakan dalam program berkenaan.


Frankie turut menekankan komitmen Pusat Khidmat ADUN Tanjong Papat dalam menganjurkan program-program seperti ini demi kesejahteraan rakyat setempat.


Sementara itu penduduk sekitar dan pengunjung yang hadir menyambut baik dan amat menghargai inisiatif ini.


Ini kerana melalui program ini, mereka dapat membeli barangan keperluan asas dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding di pasaran.


Program ini juga mencerminkan semangat "Rahmah Madani" iaitu keprihatinan kepada semua lapisan masyarakat dengan fokus untuk meringankan beban rakyat dalam keperluan harian mereka.

Comments


bottom of page