top of page
nabalunews

Program kesedaran pencegahan awal kanser di Kadamaian




15 Oktober 2024


KOTA BELUD: Program kesedaran mengenai kanser adalah sangat penting kerana ia membantu dalam pengesanan awal tanda-tanda kanser yang membolehkan seseorang mendapatkan rawatan lebih awal, yang meningkatkan peluang untuk sembuh atau mengawal penyakit dengan lebih baik. Pesakit kanser mempunyai peluang lebih tinggi untuk pulih jika kanser dikesan pada peringkat awal.


Menyedari kepentingan pengesanan awal penyakit itu, Program Kesedaran Kanser di Kampung Kinasaraban, DUN Kadamaian, Kota Belud telah dianjurkan bersama oleh Persatuan Kanser Sabah (PPKS) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian dengan slogan "Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati: Pengesanan Awal Kanser Boleh Menyelamatkan Nyawa" pada 13 Oktober lalu.


Program ini merupakan satu inisiatif penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser, khususnya kanser serviks.


Antara pengisian utama program termasuklah saringan kesihatan dan suntikan bagi mencegah kanser serviks, serta pendaftaran subsidi untuk ujian Mamogram, yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (National Cancer Society Malaysia).


Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat di UPPM dan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Juin menyatakan sokongan penuh terhadap program-program yang berkaitan kesihatan di kawasan DUN Kadamaian, dan menekankan kepentingan program kesedaran seperti ini dalam memberikan pengetahuan yang amat diperlukan oleh masyarakat tentang penyakit kanser.


Beliau turut menyeru agar masyarakat sentiasa melakukan pengesanan awal dan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan kanser.


Melalui usaha ini, diharapkan masyarakat setempat lebih peka terhadap kepentingan kesihatan dan proaktif dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Comments


bottom of page