top of page
nabalunews

Program kesihatan ‘Lead With Life’ – seru belia wanita derma darah




30 Oktober 2024


KOTA KINABALU: ‘Lead With Life’, program kesihatan dan kempen derma darah yang dianjurkan oleh Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), bakal diadakan pada 9 hingga 10 November 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).


Pengerusi Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita PGRS, Dr. Davina Datuk Markus Majihi berkata program ini bertujuan untuk menggalakkan penderma darah baharu, terutamanya dari kalangan belia wanita ahli PGRS, yang akan memimpin sebagai contoh teladan dalam komuniti.


Sebagai pengerusi program ini, Dr Davina percaya bahawa langkah pertama untuk memberi kesedaran dan inspirasi kepada masyarakat luar adalah dengan menunjukkan teladan dari dalam parti kita sendiri.


"Belia wanita di PGRS diharapkan akan tampil ke hadapan dan menjadikan derma darah sebagai satu tanggungjawab sosial dan tanda komitmen kepada masyarakat.


"Ini adalah kesempatan bagi ahli wanita kita untuk memperlihatkan bahawa pemimpin wanita mampu menjadi penggerak masyarakat yang berdedikasi dan berwibawa dalam usaha kemanusiaan," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.


Menurutnya program ini juga menawarkan ruang khas untuk penderma baharu yang dilengkapi dengan sudut cafe corner, cenderahati eksklusif, pemeriksaan gigi dan kesihatan percuma.


Melalui program ini, Dr Davina berharap agar mesej kesedaran tentang kepentingan derma darah dapat disebarluaskan ke seluruh negeri, terutamanya di kalangan generasi muda.


"Adalah harapan kami agar masyarakat dapat menyaksikan keberanian dan komitmen ahli wanita PGRS yang bersedia memberi melalui “Your 1st Drop Gives A Lifetime Impact, Lead With Life!”.


"Amatlah dialu-alukan sokongan semua pihak untuk menjayakan program ‘Lead With Life’ dan berharap agar inisiatif ini akan memberikan impak yang berpanjangan," katanya.

Comments


bottom of page