Program Komuniti Aura Borneo untuk Pengusaha Sawit dan Buah-buahan di Kota Marudu
26 November 2024
KOTA MARUDU: Program Komuniti Aura Borneo untuk membantu pengusaha sawit dan buah-buahan di Kota Marudu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pengurusan ladang serta mendapatkan maklumat terkini mengenai insentif pertanian akan berlangsung pada 29 November ini bertempat di Dewan Komuniti Kota Marudu dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari.
Pengurus Sasaran Progressive Solution yang juga pengerusi penganjur program,
Pillexson James berkata objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan ladang yang lebih efektif serta menyampaikan maklumat terkini mengenai insentif pertanian yang disediakan.
Menurut Pillexson, program ini merangkumi pelbagai aktiviti menarik, termasuk taklimat oleh Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) yang fokus kepada Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0.
Agro Aspire Sdn Bhd pula akan memberi taklimat berkaitan pengurusan ladang sawit dan buah-buahan.
Peserta juga diberi ruang untuk bertanya lebih terperinci ketika sesi soal jawab untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut dari pihak penceramah.
Katanya cabutan bertuah yang menawarkan hadiah baja sawit MADANI turut diadakan.
Manakala kupon diskaun akan diberikan semasa pendaftaran untuk pembelian baja pada harga istimewa.
Program ini dijangka dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan, dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding.
Menerusi pelaksanaan program ini, Pillexson yang juga Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu berharap ia dapat memberikan manfaat besar kepada para pengusaha sawit dan buah-buahan di Kota Marudu, sekaligus menyokong pembangunan sektor pertanian tempatan.
Comments