top of page
nabalunews

Program latihan E-Usahawan modular TEKUN-MDEC manfaatkan 320 usahawan Sabah - Rowindy

15 Ogos 2024


PENAMPANG: Latihan Keusahawanan TEKUN bagi program eUsahawan Modular TikTok Untuk Perniagaan giat dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan perniagaan kekal relevan dalam dunia digital masa kini.


Program ini diperluaskan ke Penampang, Sabah hari ini dengan matlamat agar usahawan di negeri itu dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan, memanfaatkan teknologi terkini serta memperluaskan rantaian perniagaan seterusnya memperkukuhkan kewangan.


Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Rowindy Lawrence berkata sehingga Disember tahun lalu, seramai 913 usahawan TEKUN telah menerima manfaat daripada program e-Usahawan pemula (asas) dan 302 usahawan TEKUN telah mendapat manfaat dari program e-Usahawan lanjutan (Modular) yang memberi penekanan kepada pengunaan aplikasi Tik Tok untuk perniagaan.


"Bagi tahun 2024, program ini akan diteruskan lagi untuk memberi manfaat kepada usahawan TEKUN dengan pelaksanaan 7 siri e-Usahawan membabitkan sebanyak 860 usahawan.

Rowindy

"Semoga para usahawan mendapat manfaat sepenuhnya dari ruang dan peluang yang disediakan kerajaan.


"Tingkatkan kemahiran, wujudkan rangkaian (networking) dan aplikasikan pengetahuan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat tanpa sempadan," katanya.


Rowindy berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan

E-Usahawan Modular Tik Tok untuk perniagaan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), di sini, hari ini.


Turut hadir Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Dato' Normaziah Sheikh Mohamad, Ketua Unit Keusahawanan Digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Nurezali Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perancangan dan Pembangunan TEKUN Nasional, Aishamuddin Zulkefli, Pengurus TEKUN Negeri Sabah, Hemin Osumping dan Pengurus Unit Keusahawanan Digital, MDEC, Esza Mazyatul Khairani Mohd Eshak.


Dalam ucapannya juga, Rowindy berkata kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha berterusan.

Rowindy bersama Pegawai TEKUN dan MDEC

Beliau berharap pelaksanaan program ini akan dapat membantu menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.


Katanya program ini adalah amat relevan dalam dunia perniagaan digital kerana perniagaan perlu sentiasa mempunyai pelan sandaran atau back-up plan.


"Perniagaan menjanjikan pulangan pendapatan yang tiada hadnya. Bagaimanapun ia bergantung kepada usaha dan kreativiti pengusaha ketika berhadapan dengan cabaran dan rintangan dalam dunia keusahawanan.


Katanya antara usaha untuk membantu usahawan agar kekal relevan dalam dunia perniagaan yang berkembang pesat tanpa sempadan, TEKUN Nasional telah berkolaborasi dengan MDEC iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Digital Malaysia sejak 2020.


Melalui kolaborasi ini, usahawan TEKUN akan dilatih oleh MDEC menerusi program latihan e-Usahawan bagi memastikan capaian yang lebih meluas dan memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan.


Rowindy berkata program ini telah dilaksanakan melalui 2 kaedah iaitu bersemuka dan secara dalam talian.


"Program latihan e-Usahawan menyediakan dua modul mengikut peringkat kemahiran iaitu pemula (asas) dan lanjutan (modular). e-Usahawan lanjutan (modular) adalah program latihan di mana peserta akan dilatih dengan lebih hands-on bagi satu-satu modul pengurusan perniagaan atau pendigitalan dalam rantaian nilai keusahawanan digital," katanya.


Program hari ini melibatkan 100 orang peserta.


Menurut Rowindy, program ini akan diikuti siri Jelajah selama 2 minggu di 7 daerah di Sabah di mana beliau dan Dato Normaziah akan menjelajah bagi pelaksanaan Bengkel e-Usahawan (Modular) dan Seminar Asas Keusahawanan (SAK) meliputi daerah Ranau, ⁠Papar, Penampang, Beaufort, Labuan dan Sandakan sebelum berakhir di Tawau.

Comments


bottom of page