Program MADANI Berkhidmat 2025 Peringkat Kadamaian Tamat Dengan Jayanya
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

29 April 2025
KOTA BELUD: Program MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2025 bagi peringkat Kadamaian menutup tirainya pada 26 April 2025 lalu dalam satu majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Mangkulat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dr. Rizoh Bosorong, yang mewakili Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapannya, Dr. Rizoh merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program sukarelawan berkenaan selama 12 hari di kawasan Kadamaian.
Menurut Dr. Rizoh, Ewon sendiri mencadangkan Kampung Mangkulat sebagai lokasi pelaksanaan program susulan pertemuan bersama pihak pengurusan Sukarelawan Siswa sebelum ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa Kementerian Perpaduan Negara, Dr. Wan Ahmad Hazman Wan Daud, berkata pelbagai aktiviti berbentuk amal dilaksanakan sepanjang program tersebut termasuk kerja-kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkulat serta pengajaran tuisyen bahasa Inggeris kepada kanak-kanak kampung.
"Selain kerja amal, para sukarelawan turut menyertai program keluarga angkat dengan menginap bersama penduduk setempat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan komuniti kampung," katanya.
Dr. Wan Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sokongan berterusan yang diberikan dan berharap program seperti ini dapat diperluaskan di daerah Kota Belud, khususnya di kawasan Kadamaian.
Majlis penutupan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan bertajuk "Ini Warisan Kita", sesi fotografi bersama dan penyampaian cenderahati kepada para peserta dan keluarga angkat.
Program ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan demi kesejahteraan negara.
コメント