top of page

Program Menembak Raifal dan Pistol Perkukuh Hubungan Agensi Awam Kota Belud

nabalunews

11 Februari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Program Menembak Raifal dan Pistol Bersama Agensi Awam yang berlangsung di Lapang Sasar Kem Paradise, di sini, menjadi wadah terbaik dalam mengukuhkan hubungan antara pelbagai agensi di daerah ini.


Panglima 5 Briged, Briged Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah dalam ucapannya berkata, program itu adalah inisiatif Markas 5 Briged untuk merapatkan hubungan strategik dengan agensi awam di daerah Kota Belud.


Selain itu katanya, beliau turut berkongsi maklumat mengenai pembangunan dan naik taraf Kem Paradise yang dijangka memberi impak besar kepada daerah ini.


“Projek pembangunan yang bermula pada 2 Mei tahun lalu dijangka siap pada 4 Ogos 2027 melibatkan enam sektor secara berperingkat dengan peruntukan sebanyak RM179 juta.


"Setakat ini, jumlah anggota tentera termasuk ahli keluarga hanya seramai 218 orang dan ia dijangka meningkat kepada 6,317 orang menjelang 2027," katanya.


Mohd Zamri berkata, pembangunan ini bukan saja meningkatkan tahap keselamatan daerah tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.


Katanya, kehadiran lebih ramai anggota tentera dan keluarga mereka akan meningkatkan pendapatan penduduk, selain mampu menarik pelabur datang ke Kota Belud.


"Dari segi infrastruktur, projek pelebaran jalan, khususnya di Jalan Sorob, serta peningkatan kemudahan utiliti dan awam akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.


“Pelebaran jalan penting bagi memastikan kelancaran pergerakan aset ketenteraan seperti kereta berperisai Gempita 8x8 yang digunakan oleh 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).


“Dalam aspek keselamatan, kewujudan kem baru akan meningkatkan keyakinan penduduk terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Zamri berkata, pihak tentera akan terus melaksanakan program khidmat awam seperti Projek Jiwa Murni, program kesihatan, kebajikan, aktiviti keagamaan dan inisiatif lain yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.


Katanya, dari sudut sosial pula, kehadiran anggota tentera di Kota Belud dapat memupuk interaksi sosial dan pertukaran budaya antara tentera serta penduduk tempatan.


Terdahulu, program berkenaan turut diisi dengan pertandingan menembak melibatkan penyertaan 52 peserta dari 22 agensi awam dengan penggunaan senjata raifal M4 serta pistol Glock 9MM.


Dalam kategori berpasukan, Pasukan Alfa yang dianggotai oleh Mohd Zamri bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Saikom Watis, muncul juara.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page