top of page
nabalunews

Program MyLesen 2024 bantu golongan B40 dan belia dapatkan lesen memandu




8 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang pendekatan baharu untuk melaksanakan Program MyLesen pada tahun hadapan, dengan agihan bantuan yang disesuaikan bagi golongan sasar.

 

Program ini akan diteruskan dengan sokongan penuh kerajaan bagi membantu golongan B40 dan belia mendapatkan lesen memandu.

 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menyatakan bahawa Program MyLesen Tahun 2024 merangkumi pembiayaan penuh latihan dan ujian memandu, yang bakal memanfaatkan lebih 36,000 golongan B40, setelah menerima lebih 130,000 permohonan.

 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41,853 permohonan layak untuk menyertai program tersebut setelah menerusi tapisan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa, Jumaat, lapor Sinar Harian.

 

Menurut Datuk Aedy Fadly, program ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan B40 dan menyediakan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig.

 

Inisiatif ini turut berperanan dalam melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat serta memupuk kesedaran kepatuhan kepada peraturan jalan raya.

 

“Kerajaan berharap para penerima bantuan di bawah Program MyLesen akan memanfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya kerana program ini merupakan salah satu usaha murni Kerajaan kepada golongan sasar,” ujarnya.

 

Di Kuala Lumpur, MyLesen tahun ini melibatkan 1,824 penerima manfaat golongan B40, termasuk Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (1,790 orang), Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing (14 orang), dan PSV Bas (20 orang).

 

Comments


bottom of page