Program MyLESEN kelas B2 diteruskan tahun depan, fokus pelajar sekolah dan IPT
25 November 2024
TELUK INTAN: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata Program MyLESEN Kelas B2 akan diperluas pada tahun hadapan dengan tumpuan kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi seluruh negara.
Jelas beliau, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang diusahakan untuk memilih sekolah-sekolah tertentu sebagai projek perintis bagi pelaksanaan program tersebut.
"Selain pelajar sekolah, manfaat program ini juga akan diperluas kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Kolej Komuniti, dan kolej di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA)," katanya semasa ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di sini, hari ini.
Aedy Fadly turut menyuarakan kebimbangan tentang pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen, kebanyakannya disebabkan kekangan masa ibu bapa untuk menguruskan pendaftaran lesen.
"Kita dapati banyak anak-anak menggunakan motosikal untuk ke sekolah, tetapi ramai sebenarnya tidak mempunyai lesen. Walaupun umur 16 tahun sudah layak untuk mengambil lesen, kesedaran dalam kalangan ibu bapa masih rendah untuk memastikan anak-anak mendapat lesen motosikal," katanya.
Untuk tahun 2024, sebanyak 140,000 permohonan diterima dengan 30,000 peserta layak menyertai program MyLESEN.
Comments