Program outreach pembukaan akaun bantuan SYUKUR diperluaskan - Amirzan

27 Februari 2025
PAPAR: Kerajaan Negeri akan memperluaskan program outreach bagi pembukaan akaun Bantuan SYUKUR bagi memastikan setiap penerima yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang diperkenalkan bermula tahun ini.
Katanya, program dilaksanakan bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada penerima, khususnya mereka yang masih belum mempunyai akaun bank atau butiran akaun mereka tidak lengkap dalam sistem Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kami mahu memastikan semua penerima Bantuan Syukur menerima bantuan mereka tepat pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini.
“Program outreach ini membantu mereka yang masih belum mempunyai akaun untuk membuka akaun dan mengemas kini maklumat dalam sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Sara Hidup Dan Pembukaan Akaun Bank Penerima Sumbangan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Armzan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, bagi fasa pertama bantuan (Januari – Mac 2025), sejumlah 72,039 isi rumah di seluruh Sabah telah menerima bantuan, termasuk 1,544 isi rumah di Parlimen Papar.
Namun, katanya masih terdapat 19,839 penerima di Sabah dan 433 di Papar yang belum mempunyai akaun atau butiran akaun mereka tidak lengkap dalam sistem SMJ.
Katanya, Sekretariat SMJ memberi jaminan bahawa bantuan sebanyak RM900 bagi tiga bulan akan dikreditkan ke akaun penerima dalam tempoh tujuh hari selepas maklumat akaun dimasukkan.
"Dalam hubungan ini, kami menyeru semua pihak termasuk wakil rakyat dan agensi berkaitan untuk membantu menyebarluaskan maklumat ini.
“Usaha ini bukan sahaja memastikan tiada penerima yang tercicir, tetapi juga sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah,” katanya.
Comentarios