Program PANTAS Kampung Terintiden Percepat Pengukuran Tanah Anak Negeri

14 Mac 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di Kampung Terintiden, Kota Belud yang diadakan pada, 12 Mac 2025, bertempat di Balairaya Kampung Terintiden. Program ini bertujuan mempercepat proses pengukuran tanah bagi memastikan hak milik sah diberikan kepada penduduk yang terlibat.
Lebih 70 orang penduduk menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Penolong Jurukur Daerah Kota Belud, Pool Rumanti.
Dalam sesi taklimat tersebut, beliau menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pengukuran yang akan dijalankan serta kepentingannya bagi masyarakat setempat.
Menurut Pool, pemeriksaan lapangan dan pemetaan menggunakan drone akan dilaksanakan pada 19 hingga 21 Mac 2025 di kawasan Kampung Terintiden dan Kampung Sayap. Langkah ini bertujuan mempercepat proses pemetaan tanah secara lebih tepat dan sistematik.
Turut hadir dalam program ini ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. Kehadiran beliau menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak tanah anak negeri diiktiraf dan dilaksanakan dengan adil.
Turut serta dalam program tersebut ialah Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin, serta Ketua Kampung Terintiden, Dusip Berok, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terintiden, Idas Lumayan.
Penduduk Kampung Terintiden menyambut baik pelaksanaan program ini kerana ia memberikan kejelasan mengenai status tanah mereka dan mempercepat proses dokumentasi hak milik.
PANTAS merupakan inisiatif penting dalam memastikan penduduk mendapat kepastian mengenai pemilikan tanah mereka, sekali gus mengelakkan sebarang pertikaian di masa hadapan.
Program ini juga membuktikan bahawa penggunaan teknologi seperti drone dapat membantu mempercepat dan meningkatkan ketepatan pengukuran tanah, sekaligus memastikan tanah adat dapat didaftarkan dengan lebih sistematik dan telus.
Comments