Program pelindungan HPV beri 150 vaksin percuma kepada wanita Sabah
16 November 2024
PENAMPANG: Program Pelindungan HPV dan Kesedaran Kanser Serviks, anjuran Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Olumis Klinik Tongod, berjaya memberikan 150 vaksin HPV secara percuma kepada remaja dan wanita.
Program ini diadakan di Buhavan Square, Penampang, dan dirasmikan oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang.
Pengerusi SWEA, Mohina Sidom, menyatakan bahawa persatuan tersebut bukan sahaja platform untuk wanita dalam bidang keusahawanan, tetapi turut komited melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Kami ingin memastikan program seperti ini dapat memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat, terutama golongan wanita dan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Dalam pada itu, Philip turut menekankan kepentingan menyokong program berkaitan kesihatan.
Ceramah kesedaran tentang pencegahan kanser serviks turut disampaikan oleh Dr. Vimalabarati Sekaaram dari Olumis Klinik Tongod kepada peserta.
Program ini turut disokong oleh Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), serta National Cancer Society Malaysia.
Selain vaksin percuma, reruai jualan usahawan wanita turut diadakan, memberi peluang kepada mereka untuk mempromosikan produk kepada masyarakat.
Ucapan tahniah turut diberikan kepada Pengerusi Pelaksana, Nicole, serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas dedikasi dalam menjayakan program ini.
Comments