Program pembuatan Simen Fero manfaatkan belia Kadamaian
18 Disember 2024
KOTA BELUD: Program Pembuatan Simen Fero selama dua hari, anjuran Persatuan Belia Transformasi Kampung Nahaba Kota Belud pada 19 dan 20 Disember ini dijangka memberi manfaat besar kepada golongan belia tempatan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan dan teknikal serta membuka peluang ekonomi baharu.
Pengerusi Persatuan, Damron Dairan, memaklumkan bahawa program ini dijayakan menerusi sokongan padu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang menyalurkan sumbangan untuk penganjuran program ini.
Sumbangan ini telah disampaikan oleh Anichlose Kesimin, Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian kepada Damron.
Menurut Damron, program ini akan diadakan di Dewan Eko Pelancongan Kampung Nahaba, Kota Belud, dengan tenaga pengajar dari pihak Giat Mara Kota Belud.
Sasaran peserta adalah golongan belia berusia antara 15 hingga 40 tahun, yang diharap dapat memanfaatkan kursus ini untuk memperkukuhkan keupayaan mereka dalam bidang keusahawanan dan teknikal.
Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan belia berkemahiran dalam pembuatan simen fero, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
Untuk rekod, simen fero (ferrocement) adalah bahan komposit yang terdiri daripada campuran simen, pasir, air, dan tetulang berupa jaringan logam atau dawai.
Ia banyak digunakan dalam pelbagai aplikasi kerana sifatnya yang ringan, kuat, dan tahan lama.
Antara kegunaan simen fero adalah pembinaan struktur marin untuk membuat perahu, kapal kecil, dan dok terapung kerana tahan terhadap air dan kakisan.
Selain itu, simen fero turut digunakan
untuk membina tangki air, silo, dan bekas simpanan bahan kimia kerana sifat kalis airnya.
Kegunaan lain termasuk dalam pembinaan rumah kos rendah dan bangunan sementara kerana ringan dan mudah dibentuk, landskap dan seni bina untuk membentuk patung, air pancut, dan elemen hiasan lain kerana fleksibiliti reka bentuknya serta untuk membina jambatan kecil, paip saliran, dan pembetung.
Simen fero turut digunakan untuk membina kolam ternakan ikan, tangki pengumpulan air hujan, dan infrastruktur pertanian lain.
Simen fero mempunyai kelebihan kerana
mampu menahan beban dan tekanan dengan baik, lebih ringan berbanding konkrit biasa dan mudah dibentuk, sesuai untuk struktur kompleks.
Dengan kemahiran pembuatan simen fero, diharapkan peserta dapat membuka peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi kampung serta komuniti setempat.
Damron turut menekankan bahawa ilmu yang diperolehi melalui kursus ini tidak hanya berakhir di situ.
“Kami berharap para peserta mampu mengaplikasikan ilmu yang bakal mereka pelajari serta menjadikannya sebagai titik tolak untuk membina kerjaya yang lebih stabil dan mapan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan terima kasih kepada Ewon atas sokongan berterusan terhadap usaha pembangunan belia di kawasan Kadamaian.
Katanya.sumbangan dan sokongan Ewon mampu memastikan program seperti ini berjalan dengan lancar dan memberi impak positif.
Damron yakin, melalui latihan intensif ini, belia kampung Nahaba akan lebih bersedia untuk menceburi bidang keusahawanan dan berperanan sebagai agen perubahan di komuniti masing-masing kerana program seperti ini bukan sahaja membekalkan ilmu tetapi juga membuka ruang bagi belia untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Sementara itu, kehadiran tenaga pengajar profesional dari Giat Mara Kota Belud dijangka dapat menyampaikan latihan berkualiti, sesuai dengan keperluan dan perkembangan industri semasa.
"Penganjuran program pembuatan simen fero ini acalah langkah strategik dalam memastikan golongan belia di Kadamaian terus maju ke hadapan dengan kemahiran yang praktikal dan relevan," kata Damron.
Comments