Program Perusahaan Sosial Pemangkin Pembangunan Koperasi

15 Mac 2025
RANAU: Program Perusahaan Sosial di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan perusahaan koperasi pelancongan berasaskan komuniti.
Pengerusi Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK), Sinulin Masinin berkata, inisiatif itu mendorong usaha koperasi dalam merangka pelan pembangunan bagi melahirkan usahawan yang berdaya saing.
Katanya, KOPSODIK telah melaksanakan pelbagai kursus bagi memperkasa ahli koperasi dengan kemahiran baru seterusnya menjana pendapatan melalui jualan produk komuniti.

"Antaranya ialah kursus pembuatan kraftangan berasaskan manik dan buah dalai yang semakin mendapat permintaan tinggi di kalangan pelancong," katanya.
Sinulin berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Koperasi Sosodikon Ranau Berhad oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga menyediakan latihan intensif kepada ahli terlibat pengurusan koperasi bagi memperkasa mutu kualiti perkhidmatan.
Katanya, KOPSODIK juga telah melancarkan pakej pelancongan yang menampilkan elemen Community-Based Tourism (CBT) bagi mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi komuniti Dusun Sosodikon sebagai tarikan pelancong.
"Kami yakin pelan pembangunan ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan komuniti tetapi juga berperanan dalam usaha memelihara dan memulihara warisan budaya masyarakat Dusun," katanya.
Sementara itu, Sinulin berkata, perusahaan KOPSODIK berkembang maju dengan bimbingan berterusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) khususnya cawangan negeri dan daerah Ranau.
Katanya, koperasi berkenaan telah berdaftar sejak Disember 2022 dan kini mempunyai seramai 84 orang ahli terdiri daripada penduduk asak Kampung Sarayo Kauluan.
“Antara pencapaian KOPSODIK adalah penyertaan dalam Program Desa Lestari pada tahun 2023 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Kami turut dipilih untuk menyertai Pameran Hari Koperasi Negara Peringkat Malaysia di Sabah International Convention Centre (SICC) pada tahun 2023.
"KOPSODIK sekali lagi dipilih menyertai Hari Koperasi Negara Peringkat Sabah di International Techology Commercial Centre (ITCC) Penampang baru-baru ini," katanya.
Sehubungan itu, Sinulin berkata, Koperasi Sosodikon Ranau Berhad berharap agar KUSKOP akan terus memberi sokongan kepada pembangunan koperasi dalam melahirkan usahawan berjaya di bawah program perusahaan sosial.
Komentarze