Program Ramah Mesra PDM UPKO Losou Podi Kukuhkan Sokongan Komuniti

23 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Wanita Kota Belud mengadakan Program Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) Losou Podi di Dewan Serbaguna Eco-Camp KOTAMU Tamu Lompios, Kota Belud.
Acara ini dipengerusikan oleh Ketua Wanita UPKO Bahagian Kota Belud, Datin Saniah Tuak, dengan kehadiran sekitar 100 peserta, termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita UPKO Bahagian Kota Belud serta komuniti cawangan sekitar PDM Losou Podi.
Program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan sokongan komuniti terhadap UPKO, selain mengimbas kembali jasa serta sumbangan yang telah diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ewon Benedick kepada rakyat di Kadamaian. Ia juga menjadi platform untuk menjelaskan sebarang kekeliruan rakyat mengenai pencalonan Ewon sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah Sesi perkenalan antara ketua-ketua cawangan PDM Losou Podi dengan AJK Wanita UPKO Kota Belud.
Penyampaian sumbangan tunai dan beras kepada beberapa keluarga yang memerlukan selain cabutan bertuah dengan hadiah menarik untuk peserta bertuah.
Aktiviti santai, termasuk sesi karaoke dan lawatan ke kolam mandi serta acara makan bersama, di mana peserta, khususnya wanita bahagian, diberi kesempatan menikmati kopi lada hitam keluaran Kisundu.
Saniah dalam ucapannya menegaskan bahawa program sebegini bukan sahaja memperkukuh semangat perjuangan parti, tetapi juga mengeratkan silaturahim antara ahli serta komuniti setempat. Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan bagi memastikan UPKO terus relevan dan mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.
"Kita ingin memastikan bahawa setiap anggota komuniti memahami hala tuju parti serta perjuangan pemimpin kita, Datuk Ewon Benedick, dalam membangunkan Kadamaian," katanya.
Program ini berakhir dengan suasana penuh mesra dan keakraban, mencerminkan semangat perpaduan serta kesepakatan dalam kalangan ahli UPKO dan masyarakat setempat.
Comments