Program #Ros_Care Perkasa Pengurusan Pertubuhan di Kota Marudu

28 Februari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KOTA MARUDU : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Sabah telah menganjurkan Program #Ros_Care: Taklimat Pengurusan Pertubuhan Berkualiti bagi Zon Kota Marudu (Siri 2) pada 8 Februari lalu. Program ini berlangsung di Mini Dewan Wahzedan 1 Avenue Kota Marudu dan dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Pertubuhan, Dewi Maing, yang juga merupakan Ketua Cawangan Pengurusan Pertubuhan JPPM Sabah.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pemegang jawatan pertubuhan mengenai konsep asas dan tadbir urus yang efektif. Antara objektif utama adalah memastikan pertubuhan bergerak sejajar dengan Akta Pertubuhan 1966 serta undang-undang dan dasar-dasar negara yang berkaitan.
Selain itu, program ini membuka ruang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan dan pengalaman dalam menguruskan persatuan masing-masing. Ini secara langsung membantu memperkukuhkan sistem pentadbiran pertubuhan agar lebih teratur dan mematuhi perlembagaan yang ditetapkan.

Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu, Jamil Majingkin, yang turut hadir, menyatakan bahawa program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 60 peserta yang mewakili 40 persatuan dari daerah Pitas, Kota Marudu, dan Kota Belud.
Menurut Jamil, ilmu yang diperoleh daripada taklimat ini amat bermanfaat dalam menguruskan persatuan dengan lebih teratur serta memastikan kepatuhan kepada perlembagaan pertubuhan.
“Diharapkan agar taklimat ini dapat diaplikasikan dalam pentadbiran persatuan masing-masing demi kelangsungan dan keberkesanan organisasi,” katanya.
Dewi menjelaskan dalam taklimat beliau, Program #Ros_Care bukan sekadar sesi taklimat biasa, tetapi merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan setiap pertubuhan di Sabah beroperasi mengikut peraturan yang sah. Dengan adanya bimbingan terus daripada JPPM, diharapkan lebih banyak pertubuhan dapat memperbaiki sistem pengurusan mereka dan berfungsi secara lebih profesional serta telus.
Menurut Dewi lagi, usaha ini sejajar dengan matlamat kerajaan dalam memastikan pertubuhan di seluruh negara beroperasi secara sistematik, selari dengan keperluan undang-undang dan kepentingan masyarakat.
Turut serta dalam sesi taklimat ini ialah Setiausaha Penganjur UPKO Kota Marudu, James Jibi, yang menyatakan bahawa program sebegini wajar diteruskan bagi memastikan semua pertubuhan di Sabah memahami keperluan pentadbiran yang berkesan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Comments