top of page

Program Sentuhan Kasih Perkukuh Perpaduan Komuniti di Kampung Tambulion Ulu

nabalunews

6 Februari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Program Sentuhan Kasih anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tambulion Ulu, berlangsung meriah hari ini.


Acara yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Tambulion Ulu itu bertujuan untuk memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan komuniti melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Saikom Watis.

Turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Loveverinus Dell Jailih dan Pengerusi KRT Kampung Tambulion Ulu, James Jarit.


Sementara itu, Loveverinus berkata, pengiktirafan harus diberikan kepada usaha KRT Kampung Tambulion Ulu sebagai antara yang paling aktif di daerah ini.


Katanya, ia selaras dengan tujuan utama KRT untuk mensejahterakan komuniti dengan menganjurkan pelbagai program kebajikan dan perpaduan.


"Walaupun peruntukan yang disediakan tidak begitu banyak, sekurang-kurangnya mereka yang layak tetap menerima bantuan yang sewajarnya.


“Terdapat sebanyak 70 KRT di Kota Belud, dengan sebahagian besar tertumpu di kawasan Kadamaian,” katanya.


Menurutnya, kecemerlangan KRT Kampung Tambulion Ulu dalam pelaksanaan program kemasyarakatan seharusnya dijadikan contoh kepada KRT lain di daerah ini.


Sementara itu, sebagai sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih, seramai 26 warga emas menerima sumbangan berupa bakul makanan.


Sumbangan berkenaan adalah hasil usaha KRT Kampung Tambulion Ulu bagi memastikan kebajikan penduduk, terutamanya golongan yang memerlukan, terus terjaga.


Dalam pada itu, Pengerusi KRT Kampung Tambulion Ulu, James Jarit berkata, program seumpama ini amat penting dalam mengukuhkan hubungan antara komuniti serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perpaduan dan kebajikan.


Katanya, kejayaan Program Sentuhan Kasih ini membuktikan bahawa usaha berterusan daripada komuniti dan sokongan pihak berkuasa tempatan mampu menjadikan kampung lebih harmoni serta sejahtera.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page