top of page

Program SYUKUR diperuntukkan RM358.4 juta bantuan kewangan golongan miskin, miskin tegar

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 3 min read

15 April 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM358.4 juta bagi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) iaitu bantuan kewangan kepada golongan miskin dan miskin tegar berjumlah RM300 sebulan selama setahun.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, program SYUKUR merupakan tanda prihatin dan kasih Kerajaan kepada golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kewangan penerima, khususnya untuk mendapatkan keperluan asas seharian.


Katanya, secara dasarnya, program SYUKUR akan memberi manfaat kepada 100,000 penerima di seluruh negeri, di mana pembayaran telah mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 17 Februari lalu bagi pembayaran fasa pertama.


Katanya, pembayaran program SYUKUR ini akan dilaksanakan secara empat (4) fasa pembayaran iaitu bulan Januari hingga Mac (Fasa Pertama), April hingga Jun (Fasa Kedua), Julai hingga September (Fasa Ketiga) dan Oktober hingga Disember (Fasa Keempat) dengan pembayaran secara lump-sum bagi tiga (3) bulan berjumlah RM900.00.


"Bagi penerima fasa satu (1) program SYUKUR melibatkan seramai 72,060 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih setakat Disember 2024," katanya pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.


Beliau menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) yang bertanya jumlah penerima yang mendapat bayaran fasa pertama Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah 2025 dan apakah inisiatif lain untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir dari senarai e-Kasih agar mereka juga mendapat bantuan yang sama.


Abidin berkata, berdasarkan kepada laporan pembayaran fasa satu (1) setakat 1 April 2025, sebanyak 13 peringkat pembayaran telah dilaksanakan dan seramai 68,238 orang telah berjaya dikreditkan ke akaun penerima dengan jumlah peratusan keseluruhan yang telah menerima bantuan SYUKUR adalah sebanyak 95 peratus.


Manakala, lima peratus (3,822 orang penerima) sedang dalam proses pengemaskinian data oleh pegawai MySMJ di lapangan setakat 01 April 2025.


Oleh itu, katanya bagi mereka yang tercicir atau tidak tersenarai dalam sistem eKasih, Kerajaan Negeri telah

membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) supaya siapa-siapa yang tercicir dan layak mendapat bantuan ini boleh melaksanakan permohonan secara talian melalui sistem ini.


Abidin berkata, Sekretariat SMJ juga bekerjasama dengan pemimpin akar umbi seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah dalam mengenal pasti Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah masing-masing yang tercicir dan layak menerima bantuan ini.


Katanya, setakat 31 Mac 2025, Sekretariat SMJ telah menerima sebanyak 270,272 permohonan hasil daripada pendaftaran melalui sistem PADANS, senarai tercicir UPPM dan Pejabat Daerah serta sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Kerajaan bagi proses verifikasi selanjutnya.


"Setakat 28 Mac 2025, Sekretariat Sabah Maju Jaya juga telah melantik seramai 85 orang Pegawai MySMJ Profiler dan telah ditempatkan di semua pejabat daerah negeri Sabah yang akan bertindak dalam penyelarasan dan permohonan kepada mereka yang tercicir dan layak menerima bantuan Program SYUKUR," katanya.


Abidin berkata, berdasarkan kepada statistik kemiskinan tegar di negeri Sabah setakat 28 Februari 2025 di dalam pangkalan data ekasih, mencatatkan penurunan jumlah senarai miskin tegar berbanding Februari 2024.


"Berdasarkan data dinamik data yang berubah-ubah dan bukan statik, jumlah miskin tegar setakat 28 Februari 2025 adalah berjumlah 1,464 Ketua Isi Rumah (KIR) dan jika dibandingkan pada 29 Februari 2024 jumlah miskin tegar yang direkodkan adalah berjumlah 14,553 Ketua Isi Rumah (KIR).


Berdasarkan kepada angka tersebut, terdapat penurunan sebanyak 89.9 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar berbanding tahun sebelumnya," katanya.


Beliau menekankan data eKasih ini bersifat dinamik di mana kenaikan dan perubahan status ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima/ ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia/ berpindah ke negeri lain.


"Kerajaan Negeri menjangkakan dengan penyaluran bantuan

SYUKUR yang telah mula dikreditkan bermula 17 Februari 2025 yang lalu akan menyaksikan penurunan angka jumlah miskin dan miskin tegar di dalam sistem eKasih," katanya.


Abidin menegaskan, Kerajaan Negeri terus komited dan berusaha dalam memastikan golongan miskin tegar yang telah berubah status untuk terus berada di atas garis pendapatan kemiskinan (PGK) bagi miskin tegar yang diukur melalui Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan iaitu pendapatan di bawah RM1,218.00 dengan mengambil kira

purata saiz isi rumah 4.3 dengan per kapita RM288.00 bagi satu ahli isi rumah.


Katanya, Kerajaan Negeri terus berusaha melaksanakan intervensi bantuan yang bersesuaian berlandaskan kepada lima (5) teras utama intervensi bantuan iaitu intervensi bantuan perumahan, bantuan pendidikan, bantuan pekerjaan, bantuan kebajikan atau kewangan, keusahawan dan latihan.


Tamat


Foto – Datuk Abidin Madingkir

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page