top of page

Program TUBE bawa arca seni, ukiran dan rotan ke persada dunia

  • nabalunews
  • Feb 23
  • 2 min read


23 Februari 2025


PENAMPANG: Bermula daripada pembuatan wakid dan barait biasa, kini hasil tangan yang berasaskan kayu dan rotan itu mampu menembusi pasaran dunia.


Itulah sentuhan ‘ajaib’ Siti Nurhayu Juman, 29, yang berjaya mampu menghasilkan arca berkonsepkan alam sekitar dan kehidupan bernilai ribuan ringgit.


Malah, hasil ciptaan tangan salah seorang peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) SME Corp itu sudah mampu menembusi pasaran luar negara dengan permintaan dari United Kingdom.


Siti Nurhayu
Siti Nurhayu

Menurut Siti Nurhayu, dia menjadikan hasil kraftangan ‘aki’ sebelum ini sebagai sumber inspirasi untuk menceburi bidang perniagaan.


Katanya, semangat untuk meneruskan perusahaan semakin bertambah apabila terpilih sebagai salah seorang peserta program TUBE.


“Menerusi program ini, kami mendapat galakkan bukan saja dari segi kewangan tetapi juga sokongan dan bimbingan untuk maju dalam perniagaan.


“Malah ia juga membuka peluang dan pendedahan kepada potensi pasaran yang lebih luas,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Pengusaha lulusan Sarjana Muda Seni Lukis Seni Reka Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, dia mengimpikan untuk membawa arca seni rotan serta ukiran itu ke persada dunia.


Mohd Shahrul Hafidz Ariffin
Mohd Shahrul Hafidz Ariffin

Sementara itu, seorang lagi peserta TUBE, Mohd Shahrul Hafidz Ariffin, 25, berkata, penyertaannya dalam program itu akan membantu memperkasakan perniagaan keluarganya.


Katanya, ia memberi peluang pemasaran produk berasaskan bambu ke pasaran lebih luas.


“Saya mengetahui mengenai program ini melalui emel alumni UMS yang mengedarkan pautan untuk mereka yang berminat dalam program keusahawanan.


“Saya terus mendaftarkan diri dan bersyukur kerana selepas ini akan dapat menambah baik kelengkapan seperti peralatan mesin untuk menghasilkan produk bermutu tinggi,” katanya.


Menurutnya, dia juga berhasrat untuk membina kolam merawat bambu bagi memastikan kualiti produk lebih terjamin.


“Terima kasih kepada SME Corp, terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) dan semua yang terlibat,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page