top of page
Wartawan Nabalu News

Program URUS bantu peminjam B50 terjejas: PM


13 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi membantu peminjam dalam kumpulan 50 peratus terbawah atau B50.


Beliau berkata, program berkenaan adalah sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif yang akan dilaksanakan oleh sektor perbankan dan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.


Tambahnya, program URUS turut merangkumi peminjam dalam kategori isi rumah B40, iaitu berpendapatan kasar kurang dari RM5,880 sebulan.


“Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, dan pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah.


“Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.


“Program URUS ini dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Ismail berkata, usaha ini bagi membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan Kerajaan sejak Mac 2020.


“Kerajaan berharap dengan pendekatan whole-of-nation dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, kita mampu merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya.

Comments


bottom of page