Projek jalan penghubung Kg Baru Pasir Putih - Logpond Tanjung Batu kini di peringkat reka bentuk

9 Mac 2025
TAWAU: Projek pembinaan jalan penghubung atau jambatan bagi menghubungkan Kg Baru Pasir Putih - Logpond, Tanjung Batu kini di peringkat reka bentuk dan dijadual akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan rasmi daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkenaan status projek tersebut.
Sebagai anak jati kampung itu, katanya, beliau amat berharap projek tersebut dapat dilaksanakan segera kerana prasarana berkenaan merupakan satu keperluan penting bagi memudahkan pergerakan penduduk di penempatan itu yang merupakan antara terbesar di Tawau.
Projek berkenaan juga merupakan antara yang ditunggu-tunggu rakyat, khususnya penduduk kampung sebagai laluan alternatif untuk ke bandar Tawau berikutan kesesakan yang semakin teruk di Jalan Utara, khususnya pada waktu puncak.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkongsi perkembangan terkini projek tersebut kepada media sempena program Sentuhan Kasih dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Falah, Kg Baru Pasir Putih, semalam.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta Komuniti Madani Pasir Putih kelolaan Pejabat Penerangan Daerah Tawau.
Selain itu, Andi turut mendedahkan bahawa permohonan bagi mengesahkan status Kg Empang, Pasir Putih sebagai perkampung rasmi sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan kini dalam peringkat pertimbangan pemilik tanah.
“Kita berharap inisiatif ini akan memberi kelegaan kepada penduduk kampung, sekaligus membolehkan penempatan yang didiami sejak sekian lama itu, turut menerima bantuan dan pembangunan lebih sistematik,”katanya.
Menyentuh program itu pula, beliau yang juga merangkap ADUN N.71 Tanjung Batu menyatakan program berkenaan merupakan rutin tahunan yang sudah menjadi tradisi pihaknya untuk mendekati penduduk kampung, khususnya golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
“Selain mengeratkan hubungan, kita juga ingin menggalakkan budaya bersedekah dan berkongsi rezeki di bulan suci ini,”katanya yang menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 25 golongan asnaf pada majlis tersebut.
コメント