top of page
  • nabalunews

Projek Mega Sektor Pertanian Bakal Merevolusi Industri Padi Dan Beras - Bernas


16 September 2024


KUALA LUMPUR: Peruntukan RM5 bilion bagi mentransformasi sektor pertanian bakal merevolusi serta merancakkan lagi industri padi dan beras negara dengan meningkatkan pengeluaran beras tempatan sekali gus meningkatkan taraf hidup pesawah.


Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu juga bakal merancakkan pertumbuhan dan penggunaan teknologi baharu yang dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian, lapor Bernama.


“Pengumuman ini merupakan satu langkah yang bertepatan dan seiiring dengan usaha Bernas sebagai syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam memajukan industri padi dan beras tempatan negara,” menurut kenyataan itu.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 mengumumkan kerajaan merancang beberapa projek mega dalam sektor pertanian termasuk projek raksasa tanaman padi fasa pertama dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM5 bilion.


Kenyataan itu menyebut Bernas melalui program SMART SBB telah mula mengadaptasikan penggunaan Internet Benda (IoT) dan mekanisasi moden selari dengan usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memacu produktiviti padi negara.


Bernas juga sedang membangunkan sistem pengurusan perladangan bagi memantau sawah berskala besar dengan lebih efisien yang turut dibantu dengan sistem pengesanan awal penyakit dan serangan padi.

Comments


bottom of page