top of page
nabalunews

Projek multisensori bantu murid berkeperluan pendidikan khas di Sabah



Gambar Bernama

 

15 Disember 2024

 

KOTA KINABALU: Berbekalkan kasih seorang ibu kepada anak lelaki autistiknya, seorang guru di pedalaman Keningau, Velerie Wheelervon Primus, 35, menjadikan pengalaman peribadi sebagai inspirasi untuk membangunkan bilik multisensori di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor.

 

Projek inovatif ini bertujuan membantu perkembangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). 

 

Menurut laporan Bernama, Velerie, guru berketurunan Dusun, memanfaatkan rumah guru lama di sekolah itu untuk mengubahnya menjadi tiga bilik multisensori yang lengkap dengan pelbagai fungsi.

 

Bilik pertama melibatkan ruang pengajaran dan pembelajaran STEM serta integrasi digital, manakala bilik kedua adalah bilik Snoezelen yang direka untuk menenangkan murid tantrum dengan dilengkapi aromaterapi.

 

"Bilik ini (Snoezelen) juga dilengkapi dengan aromaterapi dan dapat memberi ketenangan kepada murid yang tantrum. Ketiga, bilik terapi bermain yang berfungsi sebagai ganjaran kepada murid yang menunjukkan prestasi baik dalam setiap waktu pengajaran dan turut berfungsi sebagai ruang untuk melatih terapi cara kerja murid-murid autism,” katanya kepada Bernama.

 

Menurut Velerie, kaedah bilik multisensori yang pertama seumpamanya di Keningau ini memberikan impak positif kepada 70 peratus murid autisme yang mengalami masalah pertuturan dan tingkah laku.

 

Projek ini bermula akhir tahun lalu dan siap awal tahun ini dengan kos sekitar RM25,000, hasil gabungan hadiah kemenangan Anugerah Rise Educator 2023 dan dana peribadi. Velerie juga aktif berkongsi amalan inovasi pendidikan melalui bengkel dan ceramah sejak 2021. 

 

Kesungguhannya dalam memartabatkan hak pendidikan MBPK mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan Malaysia Teacher Prize 2024 oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selain menerima pelbagai anugerah lain seperti Anugerah Guru Pendidikan Khas Berwibawa di peringkat kebangsaan dan negeri. 

 

Tahun ini, Velerie bersama rakan guru menghasilkan produk inovasi yang memenangi tiga anugerah emas dan dua perak dalam pertandingan inovasi guru peringkat negeri Sabah. 

 

Melangkah ke hadapan, beliau bercadang menubuhkan komuniti sokongan ibu bapa untuk mendidik dan membantu keluarga MBPK.

 

“Ramai ibu bapa masih belum tahu cara mengurus anak-anak ini. Dengan adanya komuniti, kami boleh saling membantu dan menyediakan latihan pengurusan anak MBPK di rumah,” katanya penuh harapan. 

 

 

Comentarios


bottom of page