Projek pembangunan Daerah Sook kini giat dilaksanakan - Hajiji
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

28 April 2025
SOOK: Beberapa projek pembangunan kini giat dilaksanakan di daerah ini termasuklah dua projek pembinaan jalan raya berturap, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, dua projek itu terdiri Jalan Sinaron, Sook, ke Jalan Linayukan, Tongod, sepanjang 40 kilometer (km) serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85km yang masing-masing bernilai RM320 juta dan RM127 juta yang kini sedang dalam pelaksanaan.
'"Dengan adanya jalan berturap ini, ia akan menjimatkan masa dan kos perjalanan selain mampu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, Keningau pada Isnin.
Hajiji berkata, selain itu, sebanyak empat buah sekolah juga kini dalam pembinaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit serta SMK Trusmadi yang hampir siap sepenuhnya.
"Manakala, projek menaiktaraf klinik kesihatan serta projek Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Sabah Electricity sudah siap pada tahun lalu.
"Ini membabitkan Klinik Kesihatan Sook yang bernilai hampir RM1 juta serta Klinik Desa Karamatoi dan Klinik Desa Marapok yang masing-masing bernilai RM600,000.
"Manakala, seramai 120 penduduk telah menerima manfaat Rumah Mesra SMJ dari tahun 2022 sehingga tahun 2024 yang bernilai hampir RM9.6 juta di Sook. Pada tahun 2025 ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 80 buah rumah SMJ bagi Sook", katanya.
Hajiji berkata, banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Sook pada masa akan datang yang akan memberi manfaat kepada rakyat di daerah ini seperti pembinaan kompleks
sukan, hospital daerah Sook, membina balai polis daerah dan menambah keluasan kawasan klinik kesihatan Sook.
"Setiap pembangunan yang dibawa adalah lambang kesungguhan kerajaan negeri hari ini untuk membela nasib rakyat dan membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih maju, tersusun dan saksama, tegasnya.
Sempena majlis itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina Dewan Terbuka Daerah Sook dan menaiktaraf Bangunan Urusetia Daerah Sook.
Comments