top of page
nabalunews

Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II dijangka siap Nov 2024


30 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II, Tuaran dijangka meningkat dari 80 juta liter sehari (JLH) ke 160 JLH apabila projek naik taraf kemudahan itu yang bernilai RM429.2 juta dijangka siap bulan hadapan.


Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), projek ini turut melibatkan penambahan kapasiti saluran paip utama dan tangki simpanan.


Kemajuan fizikal terkini di tapak projek ialah 99.68% dan dijangka siap pada November 2024.


"Bagaimanapun, terdapat permohonan Notis Perubahan (NOC) untuk kelulusan peluasan skop, objektif, output dan outcome projek dengan pelarasan kos yang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 17 September 2024," ujar PETRA.


Perkara itu dimaklumkan PETRA dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan lisan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Tangau pada Persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.


Dalam soalannya, Madius meminta PETRA menyatakan status terkini peruntukan dana RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.


"Apakah projek-projek yang telah, sedang atau dalam perancangan untuk dilaksanakan di Sabah khususnya di daerah Tuaran," katanya.


Menurut PETRA, Jemaah Menteri pada 27 September 2023 telah meluluskan RM300 juta secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.


"Dana tersebut digunakan untuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) untuk menggantikan paip usang, naik taraf paip, pam penggalak dan tangki simpanan air di daerah Kota Kinabalu.


"Dana itu turut membiayai projek penggantian pam penggalak, pembinaan rumah pam penggalak, penggantian pam air mentah dan terawat bagi muka sauk dan Loji Rawatan Air di daerah Papar, Keningau dan Lahad Datu.


"Dana itu juga dimanfaatkan untuk melaksanakan penggantian Alat Janakuasa di Loji Rawatan Air Merotai, Tawau dan Beaufort 1.


"Surat Setuju Terima (SST) bagi ketiga-tiga projek ini dijangka dikeluarkan pada Januari 2025," jelas PETRA.


Kementerian itu turut memaklumkan, sebuah lagi projek adalah menaik taraf Loji Rawatan Air Kasigui bagi bekalan air saerah Putatan dan menaik taraf muka Sauk di Loji Rawatan Air Beaufort 2 termasuk kerja kerja berkaitan.


"Bagi projek ini, jangkaan SST dikeluarkan adalah pada Oktober 2024," ujar PETRA.


Dalam perkembangan berkaitan, terdapat satu projek sambungan iaitu projek menaik taraf sistem saluran agihan utama termasuk pembinaan 3 buah tangki simpanan utama di Sandakan.


Menurut kementerian itu lagi, projek yang menerima peruntukkan RM144.8 juta itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 39%.


"Projek ini dijangka siap pada suku ke-3 tahun 2026," jelas PETRA.

Comments


bottom of page