Projek Solar SK Pensiangan: Inisiatif Murni Terangi Masa Depan Pelajar

25 Mac 2025
KENINGAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Pensiangan Keningau kini boleh menikmati kemudahan tenaga solar hasil inisiatif Brightening Futures: Sustainable Solar Solutions.
Kemudahan berkenaan merupakan projek kerjasama antara Lions Bazaar 2.0 dan Tobpinai Ningkokoton koburuon kampung (TONIBUNG).
Majlis simbolik penyerahan projek itu disempurnakan oleh Charter President Lions Club Downtown Keningau, Kennedy John, yang juga bertindak sebagai Pengerusi Projek Solar bersama Pengerusi TONIBUNG, Adrian Lasimbang, serta Zone 16 Chairperson, Nelson Ng.

Menurut Kennedy, projek itu menelan kos sebanyak RM16,000 dan merupakan hasil usaha bersama antara Lions Charity Bazaar 2.0, TONIBUNG, dan Touching Lives Club.
Katanya, ia bukan saja bertujuan untuk menyediakan tenaga bersih dan mampan kepada sekolah, tetapi juga sebagai satu langkah dalam meningkatkan kualiti pembelajaran murid-murid SK Pensiangan.
"Inisiatif ini membuktikan bahawa semangat kerjasama mampu membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat.
“Dengan adanya tenaga solar, pelajar dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa dan kemudahan sekolah dapat dimanfaatkan dengan lebih baik," katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan turut diadakan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan kepada 182 murid SK Pensiangan.
Sumbangan ini adalah hasil daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang disempurnakan Pengerusinya, Datuk Philip Benedict Lasimbang.
Philip berkata, sumbangan itu merupakan satu bentuk keprihatinan bagi membantu pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan sesi persekolahan dengan lebih baik dan selesa.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan YBR untuk menyokong pendidikan dan memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang sama dalam menuntut ilmu.
“Berkenaan projek solar ini, ia juga selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) yang menekankan kepentingan penggunaan tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
“Dengan adanya tenaga solar di sekolah luar bandar seperti SK Pensiangan, ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik konvensional tetapi juga mengurangkan jejak karbon,” katanya.
Menurutnya, usaha itu diharapkan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar, guru, dan komuniti setempat, serta menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk menjalankan lebih banyak inisiatif kemasyarakatan yang berimpak tinggi.
Comments