Projek Tebatan Banjir Sepanggar dijangka siap secara berperingkat – Mustapa

28 Disember 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapa Sakmud berkata Projek Tebatan Banjir kawasan Sepanggar dijangka akan siap sepenuhnya secara berperingkat.
Beliau berkata, projek itu antaranya akan memberi tumpuan kepada Sungai Rampayan agar masalah banjir kilat di kawasan itu dapat diselesaikan segera.
“Ia memerlukan tindakan segera bagi memastikan masalah banjir kilat di sepanjang sungai berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Selain itu, pihak pengurusan tertinggi JPS turut memberi taklimat secara komprehensif berhubung status beberapa lagi projek tebatan banjir yang sedang dalam pelaksanaan di kawasan Sepanggar,” katanya semasa sidang media di Wisma Pertanian di sini, hari ini.
Terdahulu, Mustapa mendengar taklimat yang diketuai Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Waily Harim ketika mengadakan lawatan kerja.
Menurut Mustapa, pihaknya juga akan memastikan agar JPS dapat mempercepatkan pelaksanaan semua projek tebatan banjir, terutamanya di kawasan yang dikategorikan sebagai ‘tenat’.
Mustapa yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia itu turut menyeru penduduk kampung kawasan rezab sungai untuk berpindah dengan segera bagi memastikan projek tebatan banjir dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Beliau juga menggesa penduduk terlibat untuk menerima tawaran pampasan.
Comments