PRU15: Parti-parti kecil hanya pecahkan undi pembangkang, tidak mampu bentuk kerajaan
1 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TUARAN: Parti-parti kecil di Sabah yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya boleh pecahkan undi pembangkang tetapi tidak akan mampu membentuk kerajaan persekutuan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pilihan raya kali ini adalah untuk membentuk kerajaan persekutuan dan bukannya negeri.
“Pilihan raya kali ini mengenai negara dan persekutuan dan bukan untuk negeri, di mana parti-parti kecil tidak akan mampu membentuk kerajaan persekutuan.
“Parti-parti kecil di Sabah mereka boleh buat apa, parti kecil boleh pecahkan undi pembangkang tetapi tidak boleh 'deliver'.
“Kami di Pakatan Harapan, boleh menang kerajaan Persekutuan untuk Sabah, Sarawak, jangan disebabkan sentimen negeri,” katanya ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan negeri Sabah, di sini, semalam.
Anwar berkata: “Sokongan yang bagi pecah-pecah ini akhirnya menang puak (sebelah) sana. Kita kena pastikan kita kuat dan bersatu, setiap undi ada pilihan sama ada mahu Perikatan Nasional (PN), BN atau PH”.
"Kalau mahu PH, mesti tolak PN dan BN dan semua parti-parti kecil yang lain sebab mereka tidak boleh membentuk kerajaan, PH ada harapan untuk tubuh kerajaan," katanya.
Beliau juga berkata, masalah daerah atau negeri termiskin di negara ini akan diselesaikan dengan segera jika PH menang dan berjaya membentuk kerajaan.
Katanya, ketika di Parlimen beliau sengaja membaca 20 daerah termiskin di negara ini dan kebanyakannya di Sabah.
"Saya sengaja baca, sebab itu bila kita perintah, Insya-Allah 20 November ini, tak payah kata Sabah, mana daerah termiskin majoriti di Sabah atau Kelantan atau Sarawak, kita mesti selesaikan dengan secepat mungkin.
"Orang miskin di Sabah adalah masalah nasional, bukan masalah Sabah. Sekolah yang teruk di Sabah adalah masalah negara yang mesti diselesaikan oleh negara ini,” katanya.
Comentarios