top of page
Wartawan Nabalu News

PRU15: Rowindy calon wanita pertama KDM tanding di Kimanis



Rowindy Lawrence Odong

1 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KIMANIS: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Kimanis Rowindy Lawrence Odong antara tokoh wanita muda yang diketengahkan PH Sabah untuk membawa cabaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Bekas Pegawai Khas kepada Datuk Ewon Benedick semasa di Kementerian Luar Bandar Sabah itu membawa harapan tinggi untuk menjadi suara kepada seluruh rakyat Kimanis tanpa mengira bangsa dan agama khususnya wanita dan golongan belia.


“Ini adalah antara matlamat saya, sejajar dengan matlamat dasar wanita negara iaitu membangun potensi dan mendayaupayakan wanita dari semua lapisan masyarakat sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.


“Saya juga mahu memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan di semua peringkat,” katanya kepada Nabalu News.


Anak kelahiran Membakut berusia 40 tahun itu juga mahu membantu lebih ramai anak muda di kawasan Kimanis agar lebih maju dari segi pendidikan.


Rowindy (dua dari kanan) bersama calon-calon wanita PH Sabah yang akan bertanding pada PRU15.

Selain itu katanya, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan itu juga antara keutamaan beliau.


“Saya berharap semua warga Kimanis memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini demi kesinambungan pembangunan yang lebih baik “Untuk Kimanis Yang Baharu,” kata bekas pramugari MAS itu.


Rowindy adalah calon wanita pertama Kadazandusun Murut (KDM) bertanding di Kimanis dan calon wanita tunggal yang diketengahkan UPKO pada PRU15.


“Walaupun berhadapan cabaran besar dalam pilihan raya ini kerana bersaing dengan ‘gergasi’ namun saya percaya dengan semangat, kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh rakyat akar umbi di kawasan Kimanis, saya yakin dapat menempuhinya dengan baik,” katanya.


Rowindy bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jelajah Mega Harapan Negeri Sabah, di Tuaran.

Rowindy merupakan Timbalan Ketua Penerangan UPKO Malaysia, Setiausaha Pergerakan wanita UPKO Pusat, Naib Ketua Bahagian Kota kinabalu dan Bekas Ketua Wanita UPKO Kota Kinabalu.


Bekas pengurus pembangunan dan pembelajaran hotel itu berkata, antara Iltizam Wanita Pakatan Harapan pada PRU15 ialah memperkasa Institusi Kehakiman Syariah khususnya berkaitan pengurusan pentadbiran serta penyediaan dana khas serta akses bantuan guaman untuk memastikan keadilan untuk wanita dan kanak-kanak.


Selain itu, mempertingkatkan subsidi kepada ibu bapa atau pengusaha Taska atau pusat penjagaan kanak-kanak untuk ibu bapa dari golongan B40 dan M40.


Rowindy bersama Vivian Wong, calon kerusi Parlimen Sandakan.

Parlimen Kimanis adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dijangka menyaksikan pertembungan beberapa tokoh politik veteran daripada BN, Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS).


Penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dijangka mempertahankan kerusi itu mewakili BN dan Dr Daud Yusof (WARISAN).


Nama bekas Menteri Luar yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman juga turut disebut-sebut sebagai calon Parti Cinta Sabah (PCS).


Pada 18 Jan 2020, Mohamad, menang pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis menewaskan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,209 undi.


PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU14.



Comentários


bottom of page