PRU15: Rowindy ditentang empat calon lain di Parlimen Kimanis
5 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KIMANIS: Calon Pakatan Harapan (PH) Rowindy Lawrence Odong ditentang empat calon lain dalam usahanya merebut kerusi Parlimen Kimanis pada dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parlimen Kinamis yang selama ini menjadi kubu kuat BN menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Rowindy (PH), penyandang kerusi Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin mewakili BN/ Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Dr.Daud Yusof (Warisan), calon Parti Kesejahteraan Rakyat (KDM) Amat Md Yusof dan wakil calon Pejuang Yusop Osman.
Pegawai Pengurus Pilihan raya, Bakri Sudin mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 11 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Al-Ghazali SMKA Kimanis di sini, ditutup pada jam 10 pagi.
Rowindy anak kelahiran Membakut, 40, satu-satunya calon wanita bertanding di Parlimen Kimanis mempunyai aspirasi menjadi suara kepada seluruh rakyat Kimanis tanpa mengira bangsa dan agama khususnya wanita dan golongan belia.
“Ini adalah antara matlamat saya, sejajar dengan matlamat dasar wanita negara iaitu membangun potensi dan mendayaupayakan wanita dari semua lapisan masyarakat sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
“Saya juga mahu memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan di semua peringkat,” katanya.
Pada PRU15 Parlimen Kimanis mempunyai seramai 40,763 pengundi berdaftar.
Comments