PSI turun padang bantu mangsa banjir
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PSI turun padang bantu mangsa banjir



3 Julai 2024


KOTA KINABALU: Persatuan Sukarelawan Inanam (PSI) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada lebih 80 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa kampung di sekitar kawasan Inanam dan Manggatal.


Antara lokasi pengagihan bantuan termasuk Kampung (Kg) Mansiang, Kg Pulutan, Kg Inanam Laut, Kg Rampayan, Kg Kitobu dan Kg Malaka serta beberapa lagi kampung berhampiran.


Setiausaha PSI, Fardy Bungga berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Ameer Ali Vali Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atas sokongan bagi menjayakan usaha membantu mangsa banjir.


Katanya, YaPEIM bermurah hati membekalkan ‘food bank’ kepada PSI untuk diagih-agihkan kepada keluarga mangsa banjir.


“Pihak persatuan juga ingin merakamkan terima kasih kepada Datuk Wong Thien Fook, Ahli Lembaga Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas sumbangan air minuman untuk diagihkan.


“Inilah semangat dan komitmen ditonjolkan rakyat Malaysia khususnya dalam memberi khidmat ataupun bantuan tanpa melihat sebarang perbezaan,” katanya ketika ditemui, semalam.



Fardy berkata, PSI menyedari, musibah banjir secara mengejut yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, Ahad lalu, menjejaskan ramai orang terutamanya penduduk kampung.


“Mangsa banjir bukan saja mengalami kerugian harta benda, malah terpaksa mengerah kudrat membersihkan kediaman masing-masing apabila kebanyakannya rumah dipenuhi lumpur.


“Oleh itu, PSI turun padang membantu sama ada dari segi tenaga ataupun bekalan makanan untuk meringankan bebanan yang dialami mangsa banjir


Sehubungan itu, Fardy berkata, pihaknya amat mengalu-alukan lebih ramai pihak akan tampil bekerjasama dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang masih berada dalam tempoh sukar.


“Kita berharap, lebih ramai pihak yang akan membantu sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan untuk menjayakan inisiatif gerak kerja PSI,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page