Pukat ikan di zon tidak dibenarkan, empat nelayan warga asing ditahan
3 Disember 2024
SANDAKAN: Tindakan sekumpulan nelayan melakukan aktiviti memukat ikan di zon tidak dibenarkan mengundang padah apabila bot pukat tunda dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Sungai Asam, di sini, pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata Kapal Maritim (KM) Tebrau yang sedang menjalankan Op Pluto Timur/Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara Covid 19 dan Op Tiris 3.0 mengesan bot nelayan terbabit melalui radar sedang menarik pukat di luar kawasan yang dibenarkan iaitu 2.6 batu nautika dari daratan berhampiran.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati tekong warga Indonesia berusia 76 tahun itu mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah manakala tiga lagi awak-awak berusia 19 hingga 41 tahun disyaki Palauh mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan turut menemukan radio VHF yang digunakan tidak menepati standard yang ditetapkan serta diuji oleh SIRIM.
“Semua suspek serta bot diiring ke Jeti Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan, Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Sementara itu, Suhairy turut mengingatkan kepada komuniti maritim supaya sentiasa bekerjasama dengan APMM dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.
Comments