Kunak berpotensi sebagai destinasi pelancong: Norazlinah
- Wartawan Nabalu News
- Mar 22, 2022
- 2 min read

22 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak Norazlinah Arif mahu agar Kunak dilibatkan dalam usaha kerajaan mempromosikan pulau-pulau sebagai pilihan baharu atau alernatif pelancongan di Sabah.
Beliau berkata, Kunak memiliki beberapa pulau yang sangat indah dan berpotensi seperti Pulau Boheyan, Pulau Maganting dn Pulau Tanah.
Bagaimanapun katanya, sebahagian besar pulau itu tidak dapat dikomersilkan sebagai tempat pelancongan kerana terikat dengan peraturan hutan simpan.
“Saya mewakili rakyat Kunak merayu, agar Kunak juga dilibatkan dalam usaha kerajaan mempromosikan pulau-pulau di Kunak sebagai pilihan alternatif baharu pelancongan seperti Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di Semporna.
“Pemain Industri Pelancongan sudah tidak sabar untuk diaktifkan semula. Mereka adalah antara pengusaha yang paling banyak terkesan semasa pandemik, malah jumlah yang terpaksa menghentikan operasi dan gulung tikar juga ramai.
“Usaha Kerajaan melaksanakan program rekreasi hutan dan eko pelancongan yang boleh dimajukan di kawasan hutan simpan Sabah sangat mengujakan. Produk ekologi hutan ini boleh dimanfaatkan bagi membantu ekonomi rakyat yang kian tenat,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Mengenai kelewatan pihak kerajaan melantik pemimpin peringkat akar umbi di Kunak, Noralizah berkata, sehingga kini masih terdapat beberapa buah kampung yang masih belum mendapat lantikan ketua kampung seperti Kg Simpang 4, Kampung Cenderawasih, Kg Skim Kokos, Kg Airport Batu 10.
“Ini kerana sebelum PRN Sabah lalu, kesemua kampung tersebut mempunyai ketua kampung yang sah dan dilantik oleh kerajaan ketika itu.
“Saya bersimpati dengan nasib penduduk kampung yang terlibat kerana terpaksa melalui banyak kesukaran untuk mendapatkan pengesahan bagi tujuan pendidikan anak-anak, perkahwinan, permohonan lesen dan sebagainya.
“Justeru saya merayu bagi pihak penduduk kampung yang belum memperolehi lantikan Ketua Kampung agar lantikan itu disegerakan demi kemudahan penduduk, Keluarga Kunak, Keluarga Malaysia,” katanya.
Commentaires