top of page

PUNS SEDIA BERI SOKONGAN UNK YANG 'DIEKSPLOITASI'

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 3, 2021
  • 2 min read


3 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) memandang serius kes tular baru-baru ini mengenai isu seorang individu mengeksploitasikan peserta Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri 2021.


Pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) Ellyanti P. Nelson berkata, walaupun perkara ini masih diperingkat siasatan, namun persatuan bersedia memberikan sokongan kepada mana-mana peserta yang mengalami perkara tersebut.


“Kami (PUNS) mendengar dan akan menyokong usaha anda untuk memperolehi keadilan sewajarnya.


“Kami juga turut merasa bangga dengan keputusan yang diambil untuk tampil menyuarakan insiden yang berlaku kerana keputusan tersebut sememangnya bukan mudah dan telah meletakkan anda di posisi yang amat sukar dan mencabar.


“Perkara ini perlu dijadikan contoh oleh semua wanita agar berani bersuara demi menjaga maruah dan martabat wanita Kadazandusun Murut Rungus (KDMR),” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Ellyanti berkata, semua UNK perlu berganding bahu dan saling menyokong dalam usaha untuk menyuarakan apa-apa bentuk gangguan atau perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap wanita.

Sambil mengambil contoh, katanya Suminundu pada satu ketika dahulu pernah mengalami cabaran dan berani mengambil tindakan wajar bagi menyelamatkan masyarakat KDMR sehingga diangkat sebagai wanita yang mulia dikenali sebagai Huminodun.


Beliau berkata, bagi pihak persatuan, mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa yang melaksanakan siasatan secara telus bagi memastikan hak individu terpelihara.


“PUNS berharap agar masyarakat menghormati keputusan peserta Unduk Ngadau ini dan memberikan ruang untuk memperolehi keadilan sewajarnya.


“Di samping itu, PUNS menyeru agar tiada sebarang gangguan ataupun pengaruh oleh mana-mana pihak ke atas peserta UNK ini sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya.


Ellyanti berkata, sebagai masyarakat KDMR yang memegang prinsip dan nilai ‘Mitabang’ atau semangat kekitaan dan berganding bahu dalam setiap aspek kehidupan seharian seharusnya seluruh warga KDMR saling berganding bahu memperkasakan peranan wanita UNK agar mereka terus diberi hak bersuara dalam semua aspek serta menyokong usaha untuk membina keyakinan semua wanita KDMR.


“Mari kita sama-sama memberi sokongan agar peserta Unduk Ngadau yang terjejas mempunyai kekuatan serta ketabahan melalui saat yang mencabar dan sukar ini,” katanya.


Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page