Pupuk budaya membaca
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 2 min read

23 April 2025
KINABATANGAN: Usaha memperkukuhkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat perlu terus diperhebat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata, ini penting dalam melestarikan budaya membaca sekaligus menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan berkaitan.
"Ia juga seiring dengan matlamat negara untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berbudaya ilmu." Ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit dan Penutupan Karnival Gempak Literasi Peringkat Negeri Sabah 2025 di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kinabatangan, disini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantunya, Datuk Harun Durabi.
Turut hadir Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw dan Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan, Dr.Dalmansa Tahil.
Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang diadakan serentak di seluruh Malaysia pada Rabu itu bertemakan "Nikmati Saat Ini atau Enjoy The Moment'.
Sementara Karnival Gempak Literasi Peringkat Negeri Sabah 2025 itu julung-julung kali diadakan di negeri ini telah berlangsung dengan jayanya dari 19 April sehingga 21 April 2025 lalu dengan tema "Satu Karnival, Satu Inspirasi".
Jelasnya, konsep karnival ini tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pembacaan semata-mata, malah melibatkan pelbagai aktiviti yang menyentuh aspek perpaduan, budaya, moral, dan juga rekreasi yang pastinya dapat memberi manfaat kepada masyarakat dalam memperkembangkan potensi diri mereka.
"Ini adalah contoh terbaik bagaimana literasi bukan hanya terbatas kepada pembacaan sahaja, tetapi juga melibatkankemahiran praktikal yang dapat memberi impak ekonomi yang besar, seperti pembuatan kraftangan." Katanya.
Karnival ini juga telah melibatkan lima daerah utama di Sabah laitu iaitu Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Beluran dan Lahad Datu.
Gbungan lima daerah ini mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan yang erat antara masyarakat setempat.
"Saya yakin bahawa penganjuran karnival ini akan memberi kesan yang besar dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat Sabah." Ujarnya.
Penganjuran yang melibatkan pelbagai daerah ini bukan sahaja memberi peluang lebih ramai penduduk di kawasan tersebut untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti, malah dapat memperkaya pengalaman mereka di samping memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Sabah secara menyeluruh.
Kedua-dua program ini juga mempunyai objektif yang sangat jelas antaranya adalah untuk menggalakkan aktiviti berkaitan pembacaan dan perpaduan antara komuniti, selain memberi pendedahan kepada pelajar dan murid sekolah untuk mengasah bakat mereka melalui pelbagai jenis pertandingan.
"Saya yakin bahawa inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat membentuk generasi muda yang lebih kreatif dan inovatif, tetapi juga memberi peluang untuk mengasah kemahiran yang berguna dalam menghadapi cabaran dunia moden." Tambahnya.
Sementara itu, ketika ditemui Media, Harun berkata, perpustakaan juga disaran terus kreatif dalam menarik minat belia dan pelajar sekolah ke sini.
Beliau berkata, ia selari dengan teknologi masa kini sambil menambah, perpustakaan juga masih menjadi tumpuan sebagai rujukan kepada pelajar dan masyarakat untuk mencari bagan rujukan berkaitan.
留言