Pusat Khidmat ADUN Kadamaian Tinjau Cadangan Keperluan Pembangunan di Kampung Tambulion Ulu dan Kampung Sorob

5 Mac 2025
KOTA BELUD : Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turun padang untuk meninjau cadangan pembangunan infrastruktur di Kampung Tambulion Ulu dan Kampung Sorob.
Lawatan ini bertujuan untuk mengenal pasti keperluan komuniti, termasuk penambahbaikan pagar sekolah tadika, pemasangan pagar di kawasan perkuburan Kristian serta cadangan pemagaran kawasan Dewan Komuniti.
Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin, bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu, Hildawatih Sikol, turut serta dalam tinjauan ini.

Salah satu fokus utama lawatan ini adalah Sekolah Tadika Kampung Sorob yang memerlukan penambahbaikan pagar kawasan sekolah Tadika bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan selamat untuk kanak-kanak.
Selain itu, Hildawatih membawa rombongan meninjau keadaan kawasan perkuburan Kristian Kampung Tambulion Ulu dan kawasan Dewan Komuniti yang sering menjadi kawasan laluan haiwan ternakan seperti sapi dan kerbau. Beliau menekankan kepentingan pemasangan pagar bagi mengelakkan gangguan dan menjaga kebersihan kawasan tersebut.
Carlye, dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan membawa isu ini kepada perhatian ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, bagi mencari penyelesaian yang sesuai.
Sementara itu, Saikom, menegaskan komitmennya sebagai PPM Kadamaian untuk berusaha mencari jalan penyelesaian demi kesejahteraan penduduk kampung.
Pendekatan turun padang seperti ini menunjukkan keprihatinan pihak ADUN terhadap keperluan rakyat serta keinginan untuk memastikan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar terus diberi perhatian. Penduduk berharap agar cadangan yang dikemukakan dapat direalisasikan demi kesejahteraan komuniti setempat.
Comments