top of page
nabalunews

Pusat Tabung Darah Sabah dibina di Bukit Padang, peruntukan RM86 juta


24 November 2024


SANDAKAN: Pusat Tabung Darah Sabah

akan dibina di kawasan tanah seluas 2.6 ekar di Bukit Padang, Penampang dengan peruntukan RM86 juta dibawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal memberi kemudahan kepada pesakit yang memerlukan.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib, berkata, pada masa ini projek berkenaan berada pada tahap tender.


Jelasnya, pusat itu bakal dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk kemudahan pesakit Talasemia yang tinggi di Sabah dan untuk membantu tabung darah hospital yang semakin kekurangan bekalan darah di negeri ini.


James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah menyatakan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Negeri Sabah 2024 Kali Ke-13 di Dewan Aktiviti Pelajar SMJK Tiong Hua, Sandakan, pada Sabtu.


Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Asits Sanna, Ketua Cawangan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar JKNS, Dr.Johari Awang Besar mewakili Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Kesihatan Awam) JKNS, Dr.Maria Suleiman, Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Walter Joseph, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sabah, Otoh Sibik Sahak, Pengarah Hospital Duchess Of Kent Sandakan, Dr.Mohd Fahmie Othman dan Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr.Faiz Gahamat.


Pada majlis sama, James turut menyampaikan anugerah bagi pemenang kategori Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Terbaik.


Tempat pertama dimenangi oleh PPKK Sandakan dengan pusat tanggungjawab di Pejabat Kesihatan Kawasan (PPK) Sandakan, kedua, PPKK Entilibon (PPK Kota Kinabatangan) dan ketiga dimenangi oleh PPKK Menggatal (PKK Kota Kinabalu).


Manakala Tokoh PPKK dinobatkan kepada Saminin Madali yang juga PPKK Kundasang dengan pusat tanggungjawab di PKK Tuaran.


Asits turut menerima anugerah khas bagi menghargai jasa beliau kepada perkembangan kesihatan di negeri ini.


Pada masa sama, James mahu semua pengerusi PPKK seluruh negeri menjalankan tugas dan mengemukakan permasalahan kesihatan yang dihadapi di kawasan mereka.


Dalam perkembangan lain, James berkata, pemasangan CT Pet Scan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas kelak akan memberi kemudahan dalam mengesan kanser lebih awal.


Terdahulu, dalam ucapannya, Asits berkata, tema dipilih tahun ini, Panel Penasihat Pemangkin Kesejahteraan Komuniti” juga selaras dengan fungsi PPKK yang juga satu organisasi berkonsepkan sukarela.


Ia juga medium komunikasi dua hala antara anggota masyarakat dan kakitangan jabatan kesihatan ke arah menggalakkan penglibatan sepenuhnya masyarakat dalam usaha mencapai matlamat “Kesihatan Untuk Semua.”

Comments


bottom of page