PUSAT ZAKAT SABAH SUMBANG BANTUAN RM10,000 KEPADA PENJARA KEPAYAN
25 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Pusat Zakat Sabah menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Penjara di Kepayan yang kini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 21 Okt hingga 2 Nov ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Arifin Mohd Arif berkata sumbangan bertujuan membantu kakitangan jabatan menguruskan banduan di penjara itu yang kini menjalani kuarantin bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
“Hari ini kita menyampaikan sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah dan beberapa keperluan lain termasuk khemah dan pelitup muka kepada kakitangan di Jabatan Penjara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah Penjara Kepayan dan Wilayah Persekutuan Labuan Nora Musa, di sini hari ini.
Turut hadir Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar dan wakil kakitangan Pusat Zakat Sabah.
Pelaksanaan PKPD di Penjara Kepayan selama 14 hari itu melibatkan 3,511 individu merangkumi 2,914 banduan dan 597 kakitangan penjara berikutan terdapat peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan. - Bernama
Comments